X

Kindly register in order to view this article
!

Sudah jawab tapi tak 'send'

A
A

BARU-BARU ini, saya berada dalam situasi yang kurang molek. Saya katakan kurang molek kerana akibat tidak menghadirkan diri, sebuah perjumpaan yang penting telah terbatal. Semua itu gara-gara kesilapan saya sendiri juga.

Seminggu sebelum itu, sahabat saya Saufie hubungi saya. Beliau bertanya sama ada saya sudi menghadiri sebuah diskusi bersama beberapa orang daripada sebuah NGO alam sekitar.

Kata Saufie, mereka ini sudah mengumpul bahan-bahan mengenai pemuliharaan alam. Bahan-bahan itu hendak dijadikan sebuah buku. Sudah tentu saya teruja hendak membantu dalam penerbitan apa-apa buku pun.

Kami berbincang melalui WhatsApp, dan sebuah tarikh perbincangan telah dipersetujui. Tetapi pada pagi hari diskusi, saya mendapat mesej daripada seorang lagi kawan bernama Arif. Dia berhajat bertemu dengan saya di Shah Alam.

Arif ialah junior saya di kolej. Pada zaman itu, Arif rapat dengan saya. Boleh dikatakan saya menjadi mentornya kerana dia kerap meminta nasihat dari segi pembelajarannya. Sebab itu dia berasa terhutang budi dengan saya meskipun saya sendiri tidak berasa begitu.

Memandangkan dia hendak terbang ke luar negara pada petang itu juga, saya bersetuju menemuinya. Lantas saya cuba hubungi Saufi, minta dia melewatkan sejam waktu diskusi dengan anggota-anggota NGO itu.

Beberapa kali panggilan saya tidak dijawab. Oleh kerana itu saya mengirim mesej kepada Saufi meminta pertemuan itu ditukar ke hari lain jika ia tidak dapat dilewatkan.

Pertemuan saya dengan Arif berlangsung dengan mesra. Apabila hendak ke kereta, saya membelek telefon dan mendapati ada beberapa panggilan daripada Saufi yang masuk. Apabila saya menelefonnya, Saufi bersuara dengan nada kecewa bertanyakan mengapa saya tidak hadir. Akibat ketidakhadiran saya, pertemuan itu dibatalkan!

Saya katakan yang saya menghubunginya beberapa kali tetapi panggilan tidak berjawab. Saya juga telah menghantar mesej meminta dia menangguhkan waktu pertemuan atau menukar tarikhnya. Saufi menjawab, yang dia tidak menerima apa-apa mesej daripada saya. Pelik!

Ya, ALLAH... apabila saya menelusuri mesej perbualan saya dengannya, barulah saya tersedar yang saya tidak mengirim pun mesej tersebut. Ertinya, setelah saya menaip mesej, saya terlupa untuk mengirimnya. Begitulah... sudah jawab, tetapi tidak send!

Terlupa

Ini adalah di antara penyakit bermesej. Jika kita bercakap di telefon, kita boleh dengar biji butir perbualan. Tetapi apabila kita menjawab dengan mesej, kita mungkin terlupa untuk menghantarnya walaupun setelah menjawab dengan panjang lebar.

Dengan berpuluh-puluh komunikasi kita dengan rakan dan taulan, akan terjadi kes kita terlupa mengirim jawapan kerana terlepas pandang. Tetapi mesej yang tidak dihantar itu samalah juga seperti mesej yang tidak berjawab. Orang yang menanti jawapan tidak menerima apa-apa respons. Oleh kerana itu, masing-masing tidak mendapat reaksi yang sepatutnya.

Dalam kes saya, Saufi kecewa kerana beranggapan yang saya mungkir untuk hadir ke pertemuan itu. Begitulah, dalam hidup kita ini banyak juga kes di mana kita menjawab tetapi tidak send jawapan kita itu. Ia bukan sahaja berlaku ketika bermesej di telefon, malah dalam komunikasi seharian.

Contohnya, anak meminta izin hendak menonton wayang. Kita tidak setuju kerana ini bulan Ramadan. Tetapi kita hanya menjawab di dalam hati dan tidak send jawapan itu ke pendengarannya. Isteri meminta kita masukkan baju ke dalam mesin basuh. Kita menjawab ‘ya’ di dalam hati sambil terus menatap komputer. Ketika memandu, kita mahu membelok, tetapi hanya berniat sahaja tanpa memberi lampu signal.

Apabila si anak pergi juga menonton tanpa pengetahuan kita, isteri tarik muka masam kerana tidak membantu kerja rumahnya dan kita dilempang penunggang motosikal kerana membelok tanpa memberi signal, silap faham telah berlaku dan ini akan menyusahkan diri kita juga akhirnya.

Ramadan ini pun, kita punyai begitu banyak doa yang mahu dipohon agar dikabulkan ALLAH. Tetapi bagaimana halnya, bila tiba waktu berdoa, kita hanya pandai aminkan doa pak imam atau hanya melafazkan doa lazim secara laju-laju?

Cara begitu menggambarkan seolah-olah kita tidak meminta apa-apa doa istimewa pada bulan berkat ini. Segala niat, hasrat dan hajat yang tidak dilafazkan satu persatu dengan penuh khusyuk dan tawaduk itu samalah seperti meminta jawapan daripada ALLAH, tetapi tidak send permintaan itu!

* Norden Mohamad ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!