Isu banjir di hadapan IOI Mall bakal selesai

Prasana masih menggunakan sistem saliran tiga kekotak yang dilihat melambatkan pengaliran air sehingga menyebabkan banjir sewaktu hujan lebat.
A
A

PUCHONG - Isu banjir di hadapan pusat membeli-belah IOI Mall yang membelenggu penduduk dan pengguna lalu lintas di sini sejak beberapa tahun lepas dijangka dapat diselesaikan menerusi beberapa inisiatif yang bakal dilaksanakan oleh pihak bertanggungjawab.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak), Francisco Anthony Doss berkata, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bersama Litrak dan pihak pengurusan IOI sedang menjalinkan kerjasama erat bagi mengatasi isu berkenaan.

Beliau berkata, beberapa langkah penyelesaian telah berjaya dicapai menerusi perbincangan sebelum ini bagi membolehkan isu itu diselesaikan dengan segera.

"Buat masa ini, kita sedang melaksana perancangan yang diketuai oleh MPSJ bagi mengatasi permasalahan banjir di laluan berhadapan dengan IOI Mall tersebut," katanya kepada Sinar Harian selepas mengadakan lawatan tapak di lokasi berkenaan, hari ini.

Mengulas lanjut, Francisco berkata, isu banjir di laluan berkenaan berlaku berikutan jumlah penduduk yang ramai di kawasan Bandar Puchong Jaya sehingga menyebabkan sistem saliran sedia ada tidak mampu menampung kapasiti air khususnya sewaktu hujan lebat.

Francisco menunjukkan lakaran peta projek baharu tersebut.
Francisco menunjukkan lakaran peta projek baharu tersebut.

Beliau berkata, keadaaan itu telah menyebabkan laluan jalan di hadapan IOI Mall akan dipenuhi air sewaktu hujan lebat malah ada ketika keadaan itu turut menjejaskan ruang parkir di pusat membeli-belah terbabit.

"Malah sejak lebih dua tahun lepas pihak Litrak telah ambil inisiatif dengan meletakkan empat pam di kawasan ini untuk salirkan air ke kawasan lombong di belakang IOI Mall namun ia hanya bersifat sementara dan berkesan sekitar 20 peratus sahaja," katanya.

Menerusi inisiatif terbaru yang diusahakan oleh MPSJ, Litrak dan IOI, Francisco berkata, ketiga-tiga agensi ini telah bersetuju untuk mengeluarkan peruntukan secara bersama bagi melaksanakan satu projek pembinaan untuk melencongkan air dari Bandar Puchong Jaya ke sebuah lombong yang terletak di belakang IOI Mall.

Beliau berkata, projek sepanjang 350 meter itu dianggarkan bernilai RM4 juta malah ia juga telah diluluskan pada tahun lalu.

"Buat masa ini, projek ini masih di peringkat tender dan selepas dilaksanakan nanti, ia akan mampu melencongkan 70 peratus air dari Bandar Puchong Jaya ke lombong berkenaan dan terus dibawa ke Sungai Klang.

Sistem saliran baharu akan dibina di sini selepas ini bagi menyalurkan air secara terus ke lombong di belakang kawasan IOI Mall.
Sistem saliran baharu akan dibina di sini selepas ini bagi menyalurkan air secara terus ke lombong di belakang kawasan IOI Mall.

"Kita harap projek ini dapat disiapkan pada akhir tahun ini kerana keperluannya begitu mendesak dan dapat mengundang risiko banjir pada bila-bila masa," katanya.

Bagi mengatasi isu banjir secara lebih berkesan, Francisco berkata, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) juga perlu memainkan peranan dengan menambah baik sistem pembentungan mereka di kawasan Stesen LRT Puchong Jaya.

Rumah pam di hadapan IOI Mall hanya mampu menyedut 20 peratus air sewaktu hujan dan bersifat sementara.
Rumah pam di hadapan IOI Mall hanya mampu menyedut 20 peratus air sewaktu hujan dan bersifat sementara.

Beliau berkata, buat masa ini Prasarana menggunakan sistem pembentungan tiga kekotak dan keadaan ini menyebabkan air yang disalurkan dari Bandar Puchong Jaya tidak dapat mengalir dengan sempurna.

"Sebelum ini Prasarana sebenarnya perlu membuat pembinaan sistem pembentung satu kotak selaras dengan pembinaan stesen tersebut namun ia tidak dilaksanakan.

"Bagaimanapun mereka telah bersetuju untuk menambah baik dan melaksana pembinaan sistem pembentung daripada tiga kekotak kepada satu kekotak namun sehingga prosesnya masih perlahan," katanya.

Tambah Francisco, kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam perkara ini bagi memastikan isu banjir di laluan berkenaan yang meresahkan banyak pihak tidak berulang selepas ini.