MHub, Tongdun meterai perjanjian laksana ciri pengecaman wajah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - MHub dan Tongdun International telah memuktamadkan secara rasminya kerjasama mereka untuk melaksanakan ciri pengecaman wajah yang akan meningkatkan lagi tahap keselamatan transaksi penjualan hartanah serta perkhidmatan pembiayaan gadai janji menerusi aplikasi pengguna MHub yang akan dilancarkan dalam waktu terdekat.

Kerjasama rasmi itu susulan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani MHub dan Tongdun pada Disember 2018, apabila platform Malaysian Proptech itu dihubungkan dengan Tongdun sebagai pemudahcara pertukaran pengetahuan dua hala untuk meningkatkan lagi inovasi dan keselamatan sektor harta tanah.

“Bidang kerjasama termasuk pembangunan pengesahan identiti dalam talian (e-KYC), peningkatan pengesanan penipuan, dan pemodelan bersama bagi mata kredit alternatif,” kata MHub dalam kenyataan hari ini.

Pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif Quek Wee Siong berkata kerjasama itu akan memberikan lebih keselesaan kepada pengguna kerana ia membolehkan mereka membuat pengesahan identiti mereka secara dalam talian tanpa sempadan, dengan hanya menggunakan telefon pintar mereka.

“Tongdun dan MHub berkongsi matlamat sama untuk membantu orang ramai memiliki hartanah impian mereka dengan menjadikan proses penjualan dan pembelian lebih mudah, lebih cepat dan lebih selamat.

“Pemuktamadan secara rasminya kerjasama kami merupakan langkah penting bagi pertumbuhan MHub sebagai peneraju ruang pasaran hartanah digital, kerana kami kini mempunyai data besar pintar berasaskan analitik untuk melindungi pengguna kami daripada risiko dan penipuan internet,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: