Struktur bumbung masjid runtuh ketika hujan lebat

Menara kubah di tapak kubah masjid yang sedang dibina runtuh ketika hujan lebat.
Menara kubah di tapak kubah masjid yang sedang dibina runtuh ketika hujan lebat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Sebahagian struktur bumbung Masjid Haji Muhammad di Kampung Mengabang Tengah, di sini, yang sedang dalam pembinaan proses naik taraf, runtuh malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, menara kubah di tapak kubah masjid yang sedang dibina runtuh ketika hujan lebat, bagaimanapun semasa kejadian, hanya tinggal empat jemaah sahaja di dalam masjid.

Seorang daripada empat jemaah yang berada di dalam masjid semasa kejadian, Aziz Salleh, 60, berkata, dia bersama dua lagi jemaah sedang bertadarus dalam masjid yang sedang dibaik pulih, manakala seorang lagi sedang melipat sejadah selepas jemaah selesai menunaikan solat sunat tarawih.

Katanya, ketika sedang mengaji, tiba-tiba mereka terdengar bunyi seperti guruh yang kuat dan terkejut apabila struktur menara kubah di bahagian tengah masjid yang sedang dalam pembinaan runtuh.

"Masa tu kami berada kira-kira tiga meter dari runtuhan. Disebabkan terkejut dengan kejadian, kami terkaku di situ sebelum keluar selamatkan diri dalam keadaan hujan lebat sebab bimbang akan berlaku runtuhan lagi," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Aziz berkata, masjid berkenaan yang berusia lebih 100 tahun dengan struktur asalnya diperbuat daripada kayu sedang dibaik pulih sejak November tahun lalu, namun masih digunakan oleh jemaah di kampung berkenaan untuk menunaikan solat jemaah dan solat sunat tarawih.

Keadaan di ruang solat jemaah akibat runtuhan struktur bumbung malam tadi.
Keadaan di ruang solat jemaah akibat runtuhan struktur bumbung malam tadi.

"Saya tak solat tarawih di masjid ini sebab rasa tak selesa ia sedang dibaik pulih. Jadi lepas selesai solat tarawih di surau lain, saya ke masjid ini untuk bertadarus dengan dua lagi jemaah lain. Tak sangka pula kejadian ini menimpa.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang ajaibnya, kami langsung tak rasa sebarang gegaran masa bumbung itu runtuh, sedangkan penduduk sekitar masjid maklumkan mereka rasa gegaran yang kuat sampai ada yang sangka berlaku gempa bumi," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang rumahnya terletak kira-kira lima meter dari masjid itu, Zarul Husairi Mohammad, 45, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah sebelum dikejutkan bunyi runtuhan yang kuat disusuli gegaran.

"Kami sangka berlaku gempa bumi. Adik lelaki saya bergegas keluar rumah nak tengok apa yang berlaku dan nampak bumbung masjid runtuh, lepas tu beberapa motosikal ada di pekarangan masjid.

"Kami fikir mungkin ada jemaah yang dihempap runtuhan, tapi Alhamdulillah apabila adik cuba panggil dari luar nak beri bantuan, ada suara jemaah yang menyahut dan melarang kami masuk kerana bimbang terkena wayar elektrik," katanya.