Redah hutan buka perpustakaan mini

Kakitangan Perpustakaan UniSZA bersama anak anak orang asli di Aring Lima.
Kakitangan Perpustakaan UniSZA bersama anak anak orang asli di Aring Lima.
A
A
A

KUALA NERUS - Kakitangan Perpustakaan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) nekad meredah hutan bagi merealisasikan hasrat program Dekad Membaca yang direncanakan Kementerian Pendidikan.

Terbaharu, mereka menerjah ke perkampungan orang asli, Aring Lima di Gua Musang bagi menubuhkan sebuah perpustakaan mini di perkampungan berkenaan bagi menjayakan program tersebut.

Pengarah projek, Mohd Sabri Muda berkata, pembukaan perpustakaan mini itu bagi mendedahkan golongan orang asli dengan pelbagai bahan bacaan serta untuk menanamkan budaya cintakan ilmu.

“Kami terpanggil melaksanakan projek bersama dengan orang asli memandangkan kita sedia maklum golongan ini sukar untuk keluar dari perkampungan mereka kerana penempatan jauh dari bandar.

“Kita tidak boleh mengharapkan mereka datang kepada kita dan kita juga tidak boleh meminggirkan golongan ini dari arus pendidikan.

"Jadi kami mengambil langkah untuk turun ke perkampungan ini bagi memberikan ‘input’ kepada mereka,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha itu membuahkan hasil yang positif apabila ramai ibu bapa dan kanak-kanak orang asli datang ke program yang dilaksanakan tersebut.

Selain menempatkan sejumlah 350 bahan bacaan, sebahagian ruang perpustakaan mini turut dijadikan sebagai ruangan pembelajaran kepada kira kira 100 kanak kanak orang asli.

Artikel Berkaitan:

Pelbagai aktiviti diadakan pada hari perasmian kelmarin seperti sesi motivasi dan pemeriksaan kesihatan dikendalikan 60 orang mahasiswa dari Fakulti Perubatan diketuai Prof Madya Dr Mohd Sayuti Razali.

Sementara itu, Ketua Pustakawan UniSZA, Norulhuda Makhtar berkata, mereka turut menyertai Projek Khaleef Bateq yang bertemakan Sekolah Bimbingan Fardhu Ain dan Galakan Membaca.

Program berkenaan dianjurkan Persatuan Mahasiswa Antropologi dan Dakwah, Fakulti Sains Sosial Gunaan UniSZA dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

Menurutnya, program itu bermula sejak Februari dan digerakkan sekumpulan 87 orang mahasiswa Antropologi dan Dakwah dari FSSG dan dirasmikan Dekan FSSG, Prof Dr Wan Abd Aziz Wan Mohd Amin.

Ends

Keterangan gambar - Kakitangan Perpustakaan UniSZA bersama anak anak orang asli di Aring Lima.