29 tahun Pas tawan hati rakyat Kelantan

No Image Caption
A
A
A

SUDAH hampir tiga dekad Pas membina legasi politik dan pentadbiran mereka di Kelantan selepas berjaya menumbangkan UMNO-BN pada Pilihan Raya Umum ke-8 (PRU8).

Pas membentuk kerjasama dengan Semangat 46, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) yang diberi nama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada 1990 dalam misi untuk menang PRU8.

Gabungan lima parti itu berjaya memberikan pukulan KO kepada UMNO-BN di Kelantan sehingga parti itu terlentang dan sukar untuk bangkit.

Setelah itu Pas bersama rakan dalam APU tidak lagi menoleh ke belakang dan memperkemaskan jentera pentadbiran dan pengaruh politik mereka di Kelantan.

Dipimpin oleh Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dianggap sebagai spiritual leader dalam kalangan penyokong Pas dan hampir sebahagian besar rakyat Kelantan, dari tahun ke tahun parti itu terus mengukuhkan kedudukannya di negeri Serambi Makkah itu.

APU sekali lagi membuktikan kehebatan mereka pada PRU9 apabila berjaya mempertahankan kemenangan pada 1990 dan terus mengukuhkan kedudukan mereka di Kelantan.

Bagamanapun APU tidak bertahan lama apabila pada tahun tahun 1996 Presiden Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah bertindak membubarkan parti dan menyertai semula UMNO namun Pas meneruskan perjuangan mentadbir Kelantan walaupun secara bersendirian.

Pada dua penggal pertama pentadbiran Pas di Kelantan, negeri itu ibarat anak tiri kepada Kerajaan BN.

Artikel Berkaitan:

Projek pembangunan ada tetapi terlalu sedikit berbanding negeri lain. Puncanya, peruntukan pembangunandaripada Pusat telah disekat.

Kesemua itu, dakwa orang Pas, kerana dendam orang UMNO kepada rakyat Kelantan dek menolak Kerajaan BN pada cubaan mereka menawan kembali negeri itu pada PRU9.

Sejak itu, Kerajaan Pas Kelantan terpaksa terpaksa berdikari dalam urusan pentadbiran negeri walaupun tidak mampu membawa pembangunan secara holistik.

Setiap kali diusik dengan sindiran 'Kelantan mundur', 'Kelantan tiada pembangunan' dan pelbagai tuduhan lagi, sudah tentu jawapan Kerajaan Pas Kelantan ialah mereka diabaikan Pusat, tidak mendapat bantuan seperti negeri-negeri lain dan sumber kerajaan negeri yang terhad. Terpinggir

Ketika era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri keempat, Malaysia mengalami fasa pembangunan begitu memuncak dengan pelbagai projek mega.

Ketika ngeri-negeri lain yang diperintah Kerajaan BN juga mendapat banyak nikmat pembangunan seiring dengan kemajuan Malaysia, Kelantan pula berterusan dipinggirkan daripada mendapat nikmat pembangunan yang sama. Tiada lebuh raya, tidak ada menara tinggi dan tiada pembangunan mega di negeri itu.

Menyedari sebagai sebuah negeri pembangkang, pasukan Nik Aziz tetap tabah mengharungi segala kepayahan mentadbir Kelantan.

Dari satu PRU ke satu PRU, Pas Kelantan tak pernah 'gogek' atau goyah dalam mendapat keyakinan dan undi daripada rakyat dalam negeri mahupun pengundi Kelantan yang berada di luar.

Walaupun pelbagai percubaan dilakukan oleh UMNO untuk merampas kembali Kelantan daripada Pas bermula pada PRU8 hinggalah PRU14 lalu, semuanya tidak berhasil.

Propaganda dan pendekatan secara Islamik seperti Pas membawa per-juangan Islam sejati, undi Pas masuk syurga dan macam-macam lagi tagline seolah-olah sudah sebati dalam jiwa rakyat Kelantan.

Aura Tok Guru

Faktor Allahyarham Nik Aziz sebagai pemimpin spiritual juga menjadi salah satu penyebab mengapa Pas begitu ampuh di Kelantan.

Allahyarham bukan sahaja Menteri Besar tetapi ulama, imam, pendakwah dan idola kepada rakyat Kelantan.

Medan Ilmu pada setiap pagi Jumaat di hadapan Kelab Pas (Pejabat Pas Negeri Kelantan) di Jalan Dato' Pati, Kota Bharu adalah pentas untuk Allahyarham menyampaikan ilmu agama dan juga platform tidak rasmi memberitahu rakyat tentang pendirian kerajaan negeri dalam sesuatu isu.

Apa yang uniknya ialah apabila membicarakan survival 29 tahun Pas di Kelantan; 28 tahun Pas berada dalam era pemerintahan BN dan dalam tempoh 12 tahun pula (1990-2002)

Pas menjadi kerajaan negeri pembangkang ketika Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat.

Kini, genap setahun Pas tetap menjadi kerajaan negeri di bawah pentadbiran Kerajaan PH di mana Dr Mahathir adalah Perdana Menteri ketujuh dan Kelantan pula ditadbir oleh

Datuk Ahmad Yakob yang menggantikan Nik Aziz setelah pemergiannya pada 12 Februari 2015.

Begitulah kentalnya jiwa dan lasaknya fizikal Pas dalam menempuhi bermacam dugaan serta cabaran dalam tempoh hampir 30 tahun menjadi kerajaan negeri di Kelantan.

Kerajaan Pas Kelantan seolah-olah sebuah 'wilayah autonomi' dalam Malaysia tetapi masih mampu bertahan dengan cara tersendiri. Cara Kelantan!

***Mohd Hanafiah Hashim ialah Editor Sinar Harian Edisi Pantai Timur