Lip Eng enggan minta maaf

Lip Eng (tengah) menunjukkan notis tuntutan yang diterima semalam
Lip Eng (tengah) menunjukkan notis tuntutan yang diterima semalam
A
A
A
KEPONG - Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mempertahankan kenyataan yang dikeluarkannya yang mempertikaikan keputusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menganugerahkan tiga siri nombor pendaftaran kepada syarikat yang didakwa ada kaitan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Lip Eng yang menerima surat saman daripada Najib dan isteri semalam menegaskan enggan membuat permohonan maaf berhubung kenyataan yang dikeluarkan pada 3 Disember lalu sebaliknya, beliau meminta hal itu dibicarakan dan akan mendedahkan bukti menyokong kenyatan itu di mahkamah.

"Saya disaman kerana kenyataan saya mengaitkan syarikat Syarikat Brandworth Corp ada kaitan kuat dengan keluarga Najib dan Rosmah.

"Saya tidak akan minta maaf dan tak ada duit mahu bayar RM100 juta jadi saya minta kes ini dibicarakan," katanya pada sidang media di pejabat DAP Kepong di sini, hari ini.

Notis mahkamah dikeluarkan peguambela dan peguamcara Azharudin & Associates mewakili pasangan itu menuntut permohonan maaf dalam masa tujuh hari, tiada sebarang kenyataan atau pendedahan berhubung perkara itu dibuat pada masa akan datang dan tuntutan RM100 juta

Lip Eng mempersoalkan tuntutan RM100 juta yang disifatkan tidak logik dan membuat andaian untuk kegunaan perbelanjaan pasangan itu.

"Adakah wang itu mahu digunakan untuk bayar kos mahkamah selepas mereka hadapi masalah kewangan untuk proses ikat jamin selepas akaun mereka dan anak-anak dibekukan?," soalnya.

Lip Eng dalam sidang media di lobi parlimen meminta Kementerian Pengangkutan dan JPJ memberikan penjelasan keistimewaan syarikat itu diberikan tiga nombor siri khas.

Beliau turut bercadang membawa hal itu kepada SPRM untuk menyiasat kes tersebut jika Kementerian Pengangkutan dan JPJ gagal memberikan penjelasan berhubung perkara itu.
Artikel Berkaitan: