Perak perlu lakukan kajian lanjut

Choo Kiong (tiga dari kiri) menyempurnakan majlis perasmian Insiatif Taiping Bersih 90 Hari sambil diiringi Borhan (dua dari kiri) di Dewan Teratai MPT, hari ini.
Choo Kiong (tiga dari kiri) menyempurnakan majlis perasmian Insiatif Taiping Bersih 90 Hari sambil diiringi Borhan (dua dari kiri) di Dewan Teratai MPT, hari ini.
A
A
A

TAIPING - Kerajaan Perak perlu membuat kajian lanjut bagi menentukan sama ada langkah penswastaan pengurusan sisa pepejal paling bersesuaian dalam memastikan inisiatif melupuskan sisa pepejal di negeri ini tidak mengakibatkan berlaku pencemaran alam.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Yong Choo Kiong berkata, sekiranya langkah penswastaan pengurusan sisa pepejal diambil, Kerajaan Perak perlu memastikan syarikat dipilih menguruskannya benar-benar berkelayakan, berpengalaman, berkemahiran dan mempunyai teknologi tinggi menguruskan sisa pepejal.

Menurutnya, buat masa ini, kerajaan negeri tidak mempunyai masalah menguruskan sisa pepejal melalui pembabitan pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah, namun beberapa langkah penambahbaikan perlu diambil demi memastikan sistem digunakan lebih efektif dan berkesan.

"Apabila kerajaan Pusat membuat tawaran penswastaan pengurusan sistem pengurusan pepejal kepada negeri-negeri di semenanjung Malaysia 10 tahun lalu, Perak merupakan antara negeri yang tidak menandatangani perjanjian penswastaan itu.

"Jadi, kerajaan negeri ada kuasa untuk membuat ketetapan sendiri dalam menguruskan sisa pepejal di negeri ini.

"Justeru, kerajaan negeri perlu membuat kajian lanjut sebelum memutuskan sama ada langkah penswastaan paling baik atau ada kaedah sistem pengurusan sisa pepejal lain yang lebih efektif," katanya kepada media pada Majlis Mengangkat Sumpah dan Menerima Jawatan Yang Dipertua sebagai Ahli Majlis Majlis Perbandaran Taiping (MPT) di sini hari ini.

Majlis itu menyaksikan bekas Setiausaha MPT, Borhan Abdul Halim dilantik sebagai Yang Dipertua( YDP) MPT baharu berkuatkuasa 9 April lalu bagi menggantikan bekas penyandangnya, Datuk Abdul Rahim Md Ariff yang bersara wajib 1 April lalu.

Choo Kiong berkata, ketika ini, kerajaan negeri sedang mengumpulkan segala maklumat dan giat mencari kaedah paling baik melaksanakan sistem pengurusan sisa pepejal efisien, mesra alam dan menjimatkan kos.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dalam hal ini, kerajaan negeri sudah mengadakan banyak lawatan ke negara maju yang mahir menguruskan sisa pepejal seperti Jepun, China dan Taiwan untuk meninjau dan mempelajari teknik sistem pengurusan sisa pepejal daripada negara-negara terbabit.

"Syukur kita dapat banyak input positif untuk menguruskan sisa pepejal dengan lebih berkesan.

"Bahkan banyak syarikat dalam dan luar negara memaklumkan memiliki idea baharu untuk menguruskan sisa pepejal di negeri ini dengan lebih berkesan.

"Paling penting, kerajaan perlu memberi kesedaran kepada masyarakat untuk memahami kefahaman cara-cara pengagihan dan pengurusan sampah ke tempat sepatutnya supaya mudah diproses," katanya.