Operasi pasar malam jejaskan pendapatan peniaga kedai

Penduduk dakwa ruang parkir di sini terhad sewaktu hari Jumaat dan Isnin disebabkan oleh operasi pasar malam di kawasan berkenaan. Gmbr kecil: Kok Hoo dan Lai Peng
Penduduk dakwa ruang parkir di sini terhad sewaktu hari Jumaat dan Isnin disebabkan oleh operasi pasar malam di kawasan berkenaan. Gmbr kecil: Kok Hoo dan Lai Peng
A
A
A

BUKIT JALIL - Peniaga di sekitar Taman Puncak Jalil 6 (PU6) meluahkan kegusaran berikutan sumber pendapatan mereka terjejas disebabkan oleh operasi pasar malam di kawasan berkenaan.

Difahamkan, sebelum ini pasar malam di Jalan PUJ3/13 itu hanya beroperasi pada hari Jumaat, namun sejak minggu lalu ia turut dianjurkan pada hari Isnin.

Menurut seorang pengusaha kedai bateri, Saiful Azhar Mohammad Rosli, 35, sejak pasar malam itu beroperasi pada hari Isnin, pendapatan peniaga tempatan di kawasan ini semakin terjejas berikutan masalah kehadiran pelanggan yang semakin berkurang.

"Sebelum ini, pasar malam hanya beroperasi pada hari Jumaat dan kami masih dapat berkompromi walaupun pendapatan terjejas.

"Namun sejak minggu lalu pasar malam ini turut beroperasi pada hari Isnin dan keadaan ini telah mengundang keresahan kebanyakan peniaga tempatan di lot-lot kedai di sini," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Saiful berkata, penganjuran pasar malam di kawasan berkenaan telah menyebabkan kawasan itu sesak sehingga menyebabkan ruang parkir terhad.

Saiful berkata, keadaan itu menyebabkan pelanggannya sukar untuk datang sehingga menyebabkan dia perlu menanggung kerugian pada hari berkenaan.

"Pelanggan saya banyak lari disebabkan mereka susah untuk datang kerana kawasan ini sesak dan tiada ruang parkir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang pengusaha restoran, Chan Kok Hoo, 34, berkata, keuntungannya pada hari Jumaat dan Isnin turut menyusut sekitar 30 peratus berikutan operasi pasar malam tersebut.

Peniaga mendakwa tiada sesi perbincangan berhubung penganjuran pasar malam itu pada hari Isnin.
Peniaga mendakwa tiada sesi perbincangan berhubung penganjuran pasar malam itu pada hari Isnin.

Dia berkata, selain isu kesesakan, masalah kebersihan juga turut mengundang keresahan peniaga di kawasan ini.

"Apa yang buatkan kami kecewa ialah tiada sebarang notis awal mahupun perbincangan dilakukan oleh pihak bertanggungjawab sebelum pelaksanaan ini," katanya.

Dalam pada itu, seorang pengusaha kedai penghawa dingin, Tan Lai Peng, 48, menggesa supaya Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dapat mengkaji semula operasi pasar makam terbabit di kawasan berkenaan.

Tambah Lai Peng, pihaknya mencadangkan supaya MPSJ memindahkan lokasi pasar malam tersebut si kawasan padang berhampiran kawasan berkenaan.

"Jika buat disitu, ia dapat wujudkan situasi menang-menang malah pengunjung juga mudah untuk parkir di sana," katanya.

Dalam pada itu, MPSJ ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan pihaknya akan memberi maklum balas dalam masa terdekat berhubung perkara itu