'Jangan tunggu esok, mungkin esok awak dah tiada' - Naz

Nazruddin Habibur Rahman - Foto Media Hiburan
Nazruddin Habibur Rahman - Foto Media Hiburan
A
A
A

SEBELUM ini, dunia pernah dikejutkan dengan pendedahan pengacara Jalan-Jalan Cari Makan, Naz, berkongsi secara terbuka mengenai tumor dalam perut dihadapi pada tahun 2014.

Nazruddin Habibur Rahman, 41, telah selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam perut, pada April 2015.

Namun dia masih perlu melakukan ujian pemeriksaan kesihatan kerana bimbang sejarah hitam itu berulang.

"Setiap tahun saya akan lakukan pemeriksaan sebab kita tak tahu bila akan pergi. Setiap tahun saya terfikir janganlah ambil nyawa lagi. Dekat sinilah kita sedar, apa yang kita kejarkan? Di penghujungnya, hanya kita dan ALLAH.

"Pengalaman berdepan dengan tumor buatkan saya tersentak. Pertama kali saya terfikir, anak saya baru lahir," katanya kepada Media Hiburan.

Jelasnya turut mengakui dalam proses menjadi Muslim lebih baik dari semasa ke semasa.

"Untuk persediaan akhirat, apa yang penting adalah perjalanan kita menuju ke sana. Ibadah kita memang tidak pernah cukup, namun asalkan hari ini kita lebih baik daripada semalam, ia memadai.

"Jangan tunggu esok atau lusa sebab mungkin esok awak dah tiada," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menyedari hidup tidak perlu dipersiakan, dia memahami setiap detik, setiap waktu amat berharga.

"Bila kita sedar saat ALLAH nak cabut nyawa, masa itu seribu penyesalan tidak berguna. Sekarang saya faham, kenapa orang kata kesakitan itu satu hikmah.

"Jangan persiakan peluang dalam hidup, jangan mati dalam sesalan, setiap detik, waktu berharga.

"Orang ingat emas berharga, cinta berharga? Masa adalah yang paling berharga dalam dunia," kongsinya sambil mengalirkan air mata.

Ekoran penyakit itu juga, beliau terus membuat pengurusan insurans, wasiat dan membuat perancangan rapi agar isterinya, Sheahnee Iman Lee dan tiga anaknya selesa selepas pemergiannya.

"Jangan sesekali tinggalkan hutang, beban untuk mereka. Bila berdepan dengan maut, sebagai seorang suami dan ayah, secara duniawi semua telah tersedia, insurans, waris.

"Saya juga berpesan kepada isteri dan anak-anak, sekiranya saya pergi, saya tidak akan tinggalkan mereka dengan hutang.

"Jangan kita tinggalkan dunia ini dengan hutang untuk yang tersayang. Kalau kita betul-betul sayang mereka, kenapa awak tinggalkan hutang untuk mereka? Buat apa awak berhutang untuk kereta besar, rumah besar tapi bila awak tak ada, isteri awak kena kerja 24 jam hanya untuk sara anak-anak. Itu tak adil," katanya.