Najib kalah rayuan gugurkan Sri Ram

Najib - Foto Bernama
Najib - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam rayuannya untuk menggugurkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes-kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dihadapinya.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang terdiri daripada Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Lau Bee Lan, memutuskan bahawa perkara itu tidak boleh dirayu mengikut Seksyen 50 (1) dibaca bersama Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Ketika menyampaikan keputusannya, Hakim Zabariah berkata, mahkamah telah membenarkan bantahan awal pendakwaan untuk membatalkan rayuan Najib.

Beliau berkata mahkamah berpandangan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi untuk tidak membenarkan pihak pembelaan melihat surat lantikan Sri Ram dan bagi Sri Ram untuk terus bertindak sebagai pendakwa dalam kes Najib telah dibuat di dalam perbicaraan yang kesudahannya tidak melupuskan hak-hak beliau.

"Kami tidak nampak bagaimana ini akan memberi kesan kepada hak-hak perayu (Najib) untuk mendapatkan perbicaraan yang adil," kata beliau.

Hakim Zabariah berkata, dengan andaian mereka khilaf dalam penentuan bantahan awal itu namun mereka tetap juga mempertimbangkan merit rayuan Najib.

Beliau berkata memandangkan surat lantikan Sri Ram telah ditunjukkan kepada peguam Najib, maka mahkamah tidak nampak asas kepada permohonan rayuannya (Najib) supaya surat lantikan itu ditunjukkan.

"Kami mendapati bahawa hakim Mahkamah Tinggi tidak khilaf dalam penemuannya bahawa pihak pendakwaan tidak diwajibkan untuk menunjukkan surat lantikan Sri Ram kepada Najib," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Hakim Zabariah berkata, juga tiada bukti untuk menunjukkan bahawa Sri Ram telah terlibat dalam siasatan terhadap Najib melainkan tuduhan tidak terbukti yang dibuat olehnya (Najib).

Beliau berkata Sri Ram, seperti juga mana-mana timbalan pendakwa raya, berhak untuk menyelia dan mengawasi sesuatu siasatan terhadap kes tertentu tetapi tidak melakukan sendiri penyiasatan kes itu.

"Tiada apa-apa yang dibuktikan di hadapan mahkamah buat masa ini untuk menunjukkan bahawa wujud bahaya besar Sri Ram akan berat sebelah sekiranya beliau terus bertindak sebagai pendakwa dalam kes ini," kata Hakim Zabariah ketika menolak rayuan Najib.

“Apa yang dakwa hanya semata-mata syak wasangka umum dan tidak berdasarkan fakta-fakta yang tertentu," katanya sambil menambah bahawa untuk membatalkan kelayakan seorang pendakwa, bebannya terletak pada Najib untuk menunjukkan bukti kukuh dan dengan keyakinan pasti akan berlaku berat sebelah dan bukan tuduhan yang tidak terbukti semata-mata.

Bagaimanapun, kata beliau Najib tidak dihalang daripada mengemukakan permohonan serupa pada masa depan jika terdapat fakta-fakta yang dapat menyokong dakwaan itu.

Selepas keputusan itu, peguam yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa mereka akan membuat rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan dan akan memohon supaya panel tujuh hakim mendengarnya.

Beliau juga memohon mahkamah supaya memberi penangguhan kepada perbicaraan Najib terhadap pertuduhan-pertuduhan berkaitan 1MDB tetapi timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib membantah kerana perbicaraan-perbicaraan itu akan berlangsung dalam bulan Ogos sedangkan Mahkamah Persekutuan boleh mendengar kes rayuan Najib sebelum itu.

Hakim Zabariah, bagaimanapun, mengarahkan Muhammad Shafee supaya mengemukakan permohonan secara rasmi.

Najib, 66, membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 1 Mac tahun ini yang menolak permohonannya untuk menggugurkan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan.

Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan-kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd, No 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 2011 dan 2014.

Mahkamah Tinggi menetapkan 19 Ogos bagi perbicaraan kes-kes 1MDB yang dihadapi Najib. - Bernama