Ijazah palsu: Eksekutif jualan terima suapan dijel dua tahun

Vijayakumar ketika hadir di mahkamah, Januari lalu.
Vijayakumar ketika hadir di mahkamah, Januari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM- Padah menerima suapan RM11,000 sebagai upah mendapatkan ijazah palsu, seorang eksekutif jualan dijel dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Hakim, Rozilah Salleh membuat keputusan itu terhadap C Vijayakumar selepas lelaki itu mengaku bersalah pada sebutan kes hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan Vijayakumar, 34, membayar denda RM55,000 dan penjara tambahan selama setahun jika gagal menjelaskannya.

Dalam keputusannya Rozilah berkata, sijil akademik palsu memberi implikasi yang buruk terhadap masyarakat.

"Kesannya sangat besar dan serius. Orang yang bukan pakar dalam bidang berkenaan telah diberi kepercayaan (semata-mata penggunaan sijil akademik palsu) untuk menggalas tanggungjawab dan orang lain akan terpedaya dengannya," katanya.

Bagaimanapun katanya, mahkamah berterima kasih kepada Vijayakumar kerana pengakuan tersebut telah menjimatkan kos dan masa pihak-pihak yang terlibat.

"Saya nak ucapkan terima kasih... saya rasa pengakuan bersalah yang dibuat kerana awak telah insaf dan tidak akan melakukan kesalahan pada masa akan datang.

"Mahkamah telah mengambil pertimbangan sewajarnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Ijazah palsu: Eksekutif jualan didakwa tuduhan rasuah

Vijayakumar mengaku menerima wang rasuah tersebut sebagai upah untuk mendapatkan sijil Bachelor Of Business Administration dari Multimedia University atas nama Mohd Amzar Hashim tanpa perlu mengikut prosedur pembelajaran yang betul.

Kesalahan itu dilakukannya di dalam kereta Perodua Alza di Batu 3, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, jam 4.22 petang pada 15 April 2018.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Vijayakumar menerusi peguamnya, Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan merayu dikenakan hukuman ringan atas alasan ia adalah kesalahan pertamanya.

"Pengadu dalam kes ini adalah pegawai SPRM yang menyamar untuk mendapatkan Ijazah dan itulah kali pertama beliau melakukannya.

"Saya percaya sekiranya SPRM tidak menyamar, tertuduh tidak akan ditangkap," katanya.

Menurutnya, anak guamnya adalah seorang 'runner' dan bukanlah seorang pencetak ijazah palsu tersebut.

"Saya dimaklumkan dua individu yang mencetak sijil itu turut ditahan dan anak guam kami bersedia memberi kerjasama dengan menjadi saksi pendakwaan bagi kes tersebut," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir mencadangkan agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua pihak.

"Rasuah merupakan kesalahan serius dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

"Satu hukuman berbentuk pengajaran perlu diputuskan bagi menghalang dan mencegah tertuduh mengulangi kesalahan pada masa akan datang," katanya.