Cari formula terbaik atasi kemelut Umno: Najib

Najib berucap ketika menikmati sarapan pagi bersama warga nelayan di Jeti Kampung Sungai Miang hari ini. - Foto Bernama
Najib berucap ketika menikmati sarapan pagi bersama warga nelayan di Jeti Kampung Sungai Miang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
PEKAN - Umno perlu mencari formula terbaik untuk keluar daripada kemelut semasa parti, termasuk dalam isu berkaitan desakan supaya Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan.

Bekas presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau percaya penyelesaian itu juga sedang difikirkan oleh Ahmad Zahid dan dalam masa sama, pelbagai pihak juga mengutarakan pendapat mereka dalam memastikan kelangsungan Umno.

"Apa formula dan apa caranya, bagi sedikit masa untuk semua pihak memikirkan apa jalan sebaik-baiknya. Kita belum mendapat rumusannya secara konsensus tapi dalam masa terdekat ini, kita cari satu formula untuk keluar daripada kemelut ini.

"Saya akui keadaan ini agak genting dan serius serta memerlukan satu penyelesaian yang boleh diterima oleh sebahagian besar ahli Umno," katanya selepas beramah mesra dengan komuniti nelayan di Jeti Sungai Miang di sini, hari ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai desakan anggota dan pimpinan Umno supaya Ahmad Zahid meletak jawatan, ekoran tindakan ramai wakil rakyat, pimpinan Bahagian dan anggota Umno keluar parti.

Beliau menambah dalam keadaan ini, matlamat utama yang perlu didokong semua pemimpin dan anggota parti adalah untuk memastikan Umno tidak terkubur dan kekal sebagai sebuah parti politik.

"Kekuatan kita masih adam, kekuatan kita dalam bentuk ahli yang hampir tiga juta orang dan 22,000 cawangan di seluruh negara. Tidak ada parti politik lain yang ada rangkaian kekuatan akar umbi seperti Umno dan itu yang perlu kita pelihara," katanya.

Najib dalam ucapannya juga mengingatkan ahli Umno dan BN untuk terus istiqamah dan mempunyai roh perjuangan bagi membangunkan semula parti, kerana terlalu banyak jasa telah disumbangkan semasa menjadi kerajaan.

Beliau menyifatkan perjuangan itu tidak boleh dihentikan selepas kalah pada PRU14 lalu kerana rakyat sudah pasti dapat membuat penilaian yang baik selepas ini.
Artikel Berkaitan:


"Kita terima kekalahan pada PRU14 tapi jangan tinggalkan perjuangan. Jangan fikir esok sudah tiada masa depan. Ini putaran roda... tidak mengapa kerana hari ini adalah hari mereka, tapi esok insyaAllah mungkin hari kita jika kita istiqamah," katanya. - Bernama