Jangan salah faham caj penggunaan cermin gelap

Anthony Loke melihat Pegawai JPJ memeriksa peratusan kecerahan cermin gelap di Kementerian Pengangkutan hari ini. FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Anthony Loke melihat Pegawai JPJ memeriksa peratusan kecerahan cermin gelap di Kementerian Pengangkutan hari ini. FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PUTRAJAYA - Jangan ada mana-mana pihak salah faham mengenai caj yang dikenakan terhadap penggunaan cermin gelap yang diumumkan hari ini, demikian menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau menegaskan, mengikut peraturan yang ditetapkan, tiada bayaran dikenakan kepada kerajaan tetapi bayaran hanya dikenakan kepada mereka yang minta pengecualian terhadap peraturan itu sahaja.

"Sebelum ini kementerian tidak mengenakan bayaran tetapi hanya perlu mendapat kelulusan daripada menteri dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Jumlah kenderaan yang diluluskan sejak 2011 hingga 2018 sahaja sebanyak 20,000 kenderaan dan jika fi dikenakan dapat membantu menambah pendapatan," katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya hari ini.

Anthony berkata, sebagai menteri baharu beliau tidak akan meluluskan permohonan tersebut tetapi permohonan mestilah diluluskan oleh jawatankuasa khas JPJ yang dipengerusikan oleh ketua pengarahnya.

Menurutnya, permohonan itu juga perlu mempunyai beberapa syarat dan alasan.

"Sekiranya pemohon mempunyai kes jenayah, kita akan tolak dan pemohon perlu menjelaskan bayaran saman tertunggak kemudiannya baru diluluskan.

"Penguatkuasaan ke atas peraturan baharu ini akan bermula tiga bulan daripada tempoh tarikh peraturan ini berkuatkuasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Peraturan baharu cermin gelap

Pada majlis sama, Anthony turut mengumumkan peraturan tiada had kadar peratusan bagi penggunaan cermin gelap di bahagian cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan persendirian yang bermula hari ini.

Penggunaan cermin gelap pada bahagian hadapan dan cermin sisi kanan dan kiri pemandu masih kekal iaitu 70 peratus untuk bahagian cermin depan kenderaan dan 50 peratus bagi cermin sisi kiri dan kanan pemandu.

Menurutnya, ia adalah pindaan ke atas peraturan cermin gelap di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 yang turut melibatkan perkhidmatan e-hailing seperti Grab.

Pindaan dibuat bertujuan untuk meningkatkan aspek ketelusan dalam pertimbangan ke atas permohonan menggunakan cermin yang lebih gelap, selain menyumbang kepada hasil kerajaan, manakala pengecualian di atas faktor kesihatan pula hendaklah mendapat pengesahan bertulis daripada pakar perubatan kerajaan dan akan dikecualikan daripada sebarang fi.