Ramadan dan perjuangan

A
A
A

RAMADAN tiba lagi. Bulan yang penuh dengan keampunan, kerahmatan dan ibadah ini disambut dengan penuh pengharapan.

Tiada yang lebih penting, selain mengharapkan pada Ramadan kali ini kita dapat menumpukan sepenuh kekuatan untuk meningkatkan ketakwaan dan menambah amal ibadah kepada ALLAH SWT.

Ramadan juga bukan sekadar bulan ibadah. Ramadan telah mencatatkan episod penting perjuangan dalam tinta sejarah umat Islam. Pada bulan Ramadan, al-Quran diturunkan seperti mana yang difirmankan oleh ALLAH SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185:

"Pada bulan Ramadan, di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk dan pembeza antara yang hak dan batil."

Lebih dari itu, pada bulan Ramadan, berlakunya Perang Badar pada tahun kedua Hijrah yang menyaksikan tentera Islam hanya seramai 313 orang berhadapan dengan 1,000 bala tentera Musyrikin Quraisy. Pertempuran ini menyaksikan pasukan tentera Musyrikin tumbang kepada semangat juang tentera Islam walaupun dalam keadaan mereka sedang berpuasa.

Kejayaan ini merupakan bukti betapa amalan puasa tidak menjadi faktor penghalang untuk umat Islam bersikap lemah longlai dan gundah gulana biarpun tentera musuh berlipat kali ganda. Dalam surah al-Imran ALLAH SWT berfirman:

"Sesungguhnya ALLAH SWT telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah orang-orang yang lemah. Kerana itu bertakwalah kepada ALLAH agar kamu mensyukurinya."

Manakala jauh di benua Eropah, umat Islam juga berjuang membuka kota Andalusia pada 28 Ramadan tahun 92 hijrah. Angkatan tentera Islam pimpinan Tariq bin Ziyad memulakan ekspedisi penting ini dengan penuh semangat juang tanpa takut sehingga membakar kapal-kapal mereka sendiri supaya mereka tidak berfikir untuk berundur dan terus mara ke hadapan menghadapi apa juga rintangan yang mendatang.

Artikel Berkaitan:

Tiga tinta sejarah utama Islam yang berlaku ini hanyalah sebahagian daripada banyak peristiwa lain yang turut berlaku dalam bulan Ramadan.

Ini membuktikan bahawa ibadah berpuasa pada bulan mulia itu bukanlah satu halangan yang menjadikan umat Islam lemah. Tetapi menjadi menyuntik semangat pengorbanan dan perjuangan dengan ikhlas kepada ALLAH SWT.

Umat Islam perlu bangkit dengan berani dan kuat untuk menghadapi apa jua cabaran dan dugaan. Kejayaan yang diperoleh dalam perang Badar dan angkatan tentera Islam pimpinan Tariq bin Ziyad adalah kerana faktor kepercayaan, keyakinan dan kesepaduan yang utuh dalam kalangan umat Islam sendiri.

Jika umat Islam mempunyai kepercayaan dan keyakinan sahaja, tetapi tidak mempunyai kesepaduan yang utuh, nescaya kejayaan tidak akan menjadi milik mereka.

Kesepaduan yang utuh adalah tentang penyatuan dan perpaduan ummah. Penyatuan dan perpaduan hanya akan lahir sekiranya umat Islam mengetepikan perbezaan dan mencari sebanyak mungkin persamaan antara mereka untuk dijadikan pengikat yang mampu meleraikan segala kekusutan.

Perpaduan dan penyatuan umat Islam di Malaysia pada hari ini, khususnya UMNO dan Pas adalah satu kekuatan dan nikmat yang tidak dapat disangkal lagi.

Penyatuan ummah dua parti terbesar orang Melayu itu ibarat menghubungkan dua daratan yang airnya cukup bergelora di tengah-tengah dengan membina satu jambatan utuh lagi kukuh yang dapat dimanfaatkan oleh semua pihak tanpa mengira agama dan bangsa.

Itulah pengibaratan yang paling ampuh kepada aspek penyatuan ini. Sememangnya satu fakta yang sukar untuk mencantumkan dua daratan yang mempunyai tanah yang berbeza, apa lagi lautan yang memisahkannya sangat dalam. Namun membina jambatan persaudaraan bukanlah satu yang mustahil.

Moga Ramadan kali ini terus mengukuhkan kesepaduan perjuangan antara hati-hati umat Islam demi ALLAH, Rasul dan tanah air yang tercinta.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia