Tindakan tegas naikkan harga tidak munasabah

Pegawai penguat kuasa menjalankan pemeriksaan gerai di Bazar Ramadan Persiaran Wawasan Kangar Perlis, semalam.
Pegawai penguat kuasa menjalankan pemeriksaan gerai di Bazar Ramadan Persiaran Wawasan Kangar Perlis, semalam.
A
A
A

KANGAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis akan mengambil tindakan kepada peniaga yang menaikkan harga dengan keuntungan yang tidak munasabah.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perlis, Mohamad Amir Abdullah berkata, jika perkara ini berlaku, mereka akan dikenakan tindakan bawah Akta Kawalan Harga Antipencatutan 2011.

Katanya, seramai tujuh pegawai penguat kuasa telah menjalankan pemeriksaan ke atas peniaga makanan dan minuman di Bazar Ramadan Persiaran Wawasan Kangar Perlis, semalam.

"Hasil pemeriksaan hari pertama mendapati peniaga mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP iaitu dengan meletakkan tanda harga yang jelas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Amir, selain daripada mempamerkan harga, peniaga juga perlu mementingkan aspek kebersihan dan keselamatan makanan.

"Di dalam hal ini, pihak KPDNHEP akan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bersama dengan Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan sepanjang bulan Ramadan.

"Pihak KPDNHEP juga berharap peniaga barangan keperluan harian dan basah tidak mengambil kesempatan sempena bulan Ramadan dengan menaikkan harga barangan sesuka hati," katanya.

Katanya, ini berikutan permintaan yang tinggi buat peniaga makanan dan minuman bazar Ramadan.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini pihak KPDNHEP Perlis belum menerima sebarang aduan berkaitan isu kenaikan harga barang ini," katanya.