Duit simpanan pesara RM161, 000 lesap

Mohd Wazir
Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang pesara wanita berputih mata apabila duit simpanan berjumlah RM161, 000 lesap diperdaya sindiket Macau Scam.

Mangsa berusia 61 tahun pada awalnya dihubungi seorang individu yang mengaku sebagai wakil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan menuduh mangsa terlibat dalam sindiket dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, talian mangsa disambung kepada seorang lelaki yang mendakwa diri sebagai pegawai polis sebelum diugut akan ditahan kerana kesalahan dadah.

Menurutnya, bimbang dengan ugutan itu, mangsa tanpa syak wasangka telah memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun suspek.

"Suspek memperdaya mangsa dengan menyamar sebagai pihak LHDN dan PDRM melalui panggilan telefon sehingga mendorong memindahkan sejumlah besar wang miliknya.

"Mangsa diugut akan ditahan di bilik gelap tanpa makan dan minum selama 45 hari membuatkan wanita itu resah," katanya.

Beliau berkata, mangsa hanya akur apabila diarah membuat enam transaksi kepada lima pemilik akaun.

"Pindahan pertama berjumlah RM120, 000 melalui CIMB Bank kepada akaun Bank Rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Enam transaksi seterusnya yang dibuat bernilai RM41, 000.

"Setelah semuanya selesai, mangsa berasa curiga dan sedar sudah ditipu sebelum membuat laporan polis," katanya.

Mohd Wazir turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada bagi mengelak diperdaya sindiket berkenaan.

"Jika mendapat sebarang panggilan mencurigakan, orang ramai dinasihat supaya mengabaikannya.

"Jika ada keraguan atau ingin kesahihan boleh berhubung terus dengan pihak polis," katanya.