Sambut Ramadan dalam ketakutan

Penduduk Palestin membersihkan kawasan yang musnah dalam serangan rejim Zionis Israel di Gaza semalam. - Foto Muhammad Nadir
Penduduk Palestin membersihkan kawasan yang musnah dalam serangan rejim Zionis Israel di Gaza semalam. - Foto Muhammad Nadir
A
A
A

GAZA - Penduduk Palestin kini berada dalam keadaan sedih dan takut selepas kawasan kediaman mereka dibedil oleh rejim Zionis Israel ketika mereka bersiap sedia untuk menyambut bulan Ramadan.

Pengasas Persatuan Cinta Gaza Malaysia (PCGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman berkata, ramai yang kehilangan keluarga, sahabat dan harta benda dalam serangan yang bermula Jumaat lalu itu.

"Walaupun semua dalam keadaan ketakutan, Alhamdulillah masjid masih penuh umat Islam untuk melakukan solat sunat tarawih, sementara keadaan di pasar pula tidak semeriah tahun-tahun lepas.

"Sikit demi sikit selepas gencatan senjata, rakyat Palestin cuba hendak kembali kepada keadaan asal," katanya kepada Sinar Harian.

Jelas Muhammad Nadir, gencatan senjata bermula jam 4.30 pagi waktu Gaza dan pejuang Palestin iaitu Hamas memberikan tempoh 48 jam untuk Israel melakukan perkara yang dipersetujui bersama bagi meringankan beban ke atas penduduk Gaza.

"Statistik Kementerian Kesihatan Palestin menunjukkan 27 syuhada terkorban, 154 cedera dan antara yang syahid ialah Seba Abu Arar yang berusia setahun dua bulan serta Maria Ghazali berusia enam bulan," katanya.

Muhammad Nadir (kanan) melakukan tinjauan dan ziarah di salah sebuah kawasan kediaman di Gaza yang dibedil oleh rejim Zionis Israel semalam. - Foto Muhammad Nadir
Muhammad Nadir (kanan) melakukan tinjauan dan ziarah di salah sebuah kawasan kediaman di Gaza yang dibedil oleh rejim Zionis Israel semalam. - Foto Muhammad Nadir

Sejak Jumaat lepas, rejim Zionis Israel telah melancarkan serangan bertubi-tubi dari udara dan darat ke atas Gaza.

Artikel Berkaitan:

Tindakan rejim itu dikutuk sekeras-kerasnyanya, terutama ketika umat Islam di Palestin dan seluruh dunia sedang mengadakan persiapan untuk menyambut Ramadan.

Serangan itu bermula selepas dua warga Palestin ditembak mati oleh pasukan keselamatan Israel semasa bantahan berhampiran tembok perimeter Israel-Gaza.

Pejuang Palestin bertindak balas dengan menembak dan mencederakan dua anggota tentera Israel.

Dalam pada itu, Muhammad Nadir berkata, PCGM telah melakukan ziarah terhadap keluarga yang terlibat dalam serangan itu termasuk meneruskan projek-projek Ramadan yang sudah dirancang. Orang ramai yang ingin memberikan bantuan boleh berbuat demikian menerusi Tabung Kecemasan Gaza menerusi Akaun Maybank rasmi Persatuan Cinta Gaza Malaysia 5648 1050 7826.