Kerajaan digesa kaji semula pemberian tanah milik negeri, negara

Mohamad Ezam Mohd Nor
Mohamad Ezam Mohd Nor
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Pusat dan negeri digesa mengkaji semula praktis pemberian tanah milik negeri dan negara kerana menjadi lubuk habuan bagi kelompok elit dan bangsawan.

Pengerusi Hisbah Centre for Reform, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, pemilikan tanah milik negeri dan negara adalah antara aset terpenting sesebuah ekonomi sama ada pada kadar semasa atau masa akan datang.

“Malah tanah milik negeri dan negara itu adalah jaminan masa depan generasi akan datang.

“Malangnya di negara ini, ia menjadi tempat pembahagian habuan dan laba politik golongan elit politik serta bangsawan dengan cara yang tidak telus, tidak adil kepada rakyat biasa dan marhaen yang juga mempunyai hak terhadap harta milik negeri dan negara itu.

“Kami menggesa, sudah sampai masanya kerajaan baharu ini mengorak langkah yang bersungguh-sungguh memperbetulkan kepincangan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Ezam berkata, pihaknya menjangkakan di era pentadbiran lalu, berbillion nilai tanah milik negeri dan negara dijual dengan harga jauh lebih rendah daripada pasaran.

“Ia diserahkan kepada orang perseorangan terdiri daripada elit politik, pembesar dan bangsawan sama ada menerima dalam bentuk tanah anugerah atau tanah kurnia.

“Praktis ini menjadikan kelulusan dan transaksi tanah milik negeri dan negara menjadi laluan paling pantas untuk mengaut habuan dan laba besar bagi individu-individu ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Secara tidak langsung beliau berkata, tindakan menyalahgunakan pemberian itu bercanggah dengan prinsip ketelusan dan keadilan di dalam menjaga harta milik negara dan awam.

“Islam sendiri melalui sirah Rasulullah SAW dalam pembahagian ghanimah (harta negara) termasuk dalam bentuk pemilikan tanah kediaman dan perladangan amat menitik beratkan soal keadilan kepada rakyat khususnya rakyat termiskin.

“Di Malaysia perkara sebaliknya berlaku. Harta milik negeri dan negara ini menjadi medan pemunggahan harta kelompok elit, pembesar dan bangsawan,” jelasnya.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa praktis tersebut dihentikan dalam kerajaan baharu ini dan mendesak siasatan menyeluruh dibuat terhadap pemberian tanah tersebut yang secara jelas menjadi medan mengutip keuntungan segera.

“Banyak tanah yang dilulus dan dikurniakan berpindah tangan dalam waktu singkat untuk keuntungan segera mereka yang dikurniakan tanah-tanah itu.

“Kami menggesa kerajaan negeri terutamanya di mana nilaian tanah tinggi seperti di Selangor dan Johor mewujudkan ‘task force’ bagi menyiasat kecurangan lalu dan menyediakan pelan baru yang adil kepada negeri, negara dan rakyat,” katanya.

Tambahnya, kerajaan pusat dan negeri yang baru mesti berani dan bersungguh-sungguh melakukan perubahan demi rakyat agar perubahan kerajaan benar-benar memberi makna baru di dalam kehidupan dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya.