Debat tentang perlunya IPCMC

A
A
A

KERAJAAN bercadang mahu menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dan turut mendapat sokongan daripada Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Namun, idea penubuhan ini turut tidak terlepas daripada mendapat tentangan segelintir pihak termasuk bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berhubung beberapa perkara membabitkan penubuhan IPCMC.

IPCMC dikatakan bakal menjadi sebuah badan bebas yang akan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan berperanan menerima aduan serta menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis bagi memastikan tidak berlaku sebarang salah guna kuasa dalam kalangan anggota polis.

Pada awal April lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata IPCMC bebas untuk melakukan siasatan terhadap pasukan keselamatan itu dan kerajaan tidak akan campur dalam menangani sebarang aduan mengenai polis.

Berdasarkan kepada niat penubuhan IPCMC, sudah tentu ada keperluan untuk kita menyokong idea ini. Biarpun ada pihak yang beranggapan bahawa IPCMC ini tidak diperlukan kerana agensi-agensi sedia ada sudah cukup untuk memainkan peranan masing-masing seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, EAIC, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Biro Pengaduan Awam, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM, serta badan-badan NGO yang turut memainkan peranan bagi memastikan polis melaksanakan tugas mengikut landasan yang betul.

Namun, adakah agensi-agensi yang disebutkan itu benar-benar efektif dalam memastikan salah laku dalam kalangan anggota polis sentiasa mendapat pengadilan sewajarnya?

Daripada beberapa agensi yang disebutkan itu, hanya beberapa agensi mempunyai kuasa untuk menyiasat dan mendakwa serta mempunyai bidang kuasa khusus (tidak menyeluruh).

Menurut statistik EAIC yang direkodkan sepanjang 2011 hingga 2018; 1,919 daripada 2,640 aduan salah laku yang diterima ialah membabitkan anggota PDRM, yang merupakan aduan tertinggi direkodkan berbanding agensi penguat kuasa lain di bawah pemantauan EAIC. Antara aduan salah laku sering dilaporkan seperti rasuah, tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP), peras ugut, tidak melakukan siasatan dan gangguan seksual kepada pegawai serta anggota bawahan.

Artikel Berkaitan:

EAIC yang ditubuhkan pada 1 April 2011 sebenarnya sudah mempunyai taring yang tersendiri seperti termaktub dalam Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009. Namun, masih banyak penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam menajamkan taring EAIC.

Antara penambahbaikan yang boleh dilakukan terhadap EAIC adalah seperti penambahan bidang kuasa dan penyusunan semula atau mereformasi Akta EAIC agar lebih teratur terutamanya dari aspek penyiasatan dan mungkin juga penambahan dari aspek pendakwaan.

Selain itu, kerajaan perlu memperkasakan EAIC dengan menjadikan segala syor tindakan tatatertib EAIC kepada mana-mana agensi penguatkuasaan yang berkenaan dilaksanakan sepenuhnya. Buat masa ini, pihak agensi penguatkuasaan seperti PDRM masih mempunyai budi bicara sama ada mahu menerima syor EAIC atau tidak dengan alasan tersendiri.

Malah, EAIC juga boleh ditambah baik dengan memastikan EAIC bertanggungjawab terus kepada Parlimen dan bukan kepada Jabatan Perdana Menteri seperti hari ini. Ini boleh mengurangkan campur tangan politik dalam urusan EAIC.

Benar, buat masa ini mungkin EAIC gagal untuk memenuhi matlamat utamanya kerana tidak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan terdapat beberapa kelemahan yang ketara. Namun, ini tidak bermaksud EAIC perlu dimansuhkan dan digantikan dengan IPCMC. Sekadar menukar nama sahaja tidak akan memberikan sebarang kebaikan kepada integriti PDRM mahupun mana-mana agensi penguat kuasa lain.

Sama ada IPCMC ini diperlukan atau tidak adalah satu persoalan yang subjektif. Jika kewujudan EIAC sebenarnya sudah mencukupi dan hanya memerlukan penambahbaikan atau reformasi tertentu, mengapa perlu ia dimansuhkan dan digantikan dengan IPCMC yang mempunyai fungsi dan bidang kuasa lebih kurang sama.

* Haeme Hashim ialah peguam di HaemeHashim & Co