X

Kindly register in order to view this article
!

Budaya syok sendiri Yadim

A
A

KALAU Huawei mahu hasilkan telefon bimbit, apa strategi pertamanya? Kalau tak mahu ramai orang beli, bolehlah hasilkan jenis telefon ikut rasa syok sendiri tanpa memikirkan saingan.

Budaya syok sendiri ini juga dominan dalam kalangan badan dakwah yang tidak memikirkan siapa pesaing utamanya.

Saya pernah hadiri sebuah NGO yang buat mesyuarat demi mesyuarat hanya untuk memperhalus visi dan misi serta strategi-strategi dakwah setiap kluster.

Akhirnya, selepas lebih lima tahun, saya lihat NGO ini masih berada pada tahap syok sendiri iaitu sekadar mesyuarat dan makan minum sahaja!

Ada pula badan dakwah yang mesyuarat sikit tapi banyak buat program seperti program raya, buka puasa, interfaith dialog dan street dakwah. Program-program seperti ini bukan tak penting tetapi ia lebih bersifat touch-n-go.

Contohnya interfaith dialog. Apa imej Islam yang perlu disampaikan melalui interfaith dialog? Kerana ia adalah dialog, maka panelis dialog biasanya akan fokus pada penghujahan.

Keutamaannya ialah menang hujah. Panelis akan cuba mendedahkan sebanyak mungkin “fakta-fakta aib” dalam kitab agama lain demi untuk rasa sekurang-kurangnya syok sendiri jika menang hujah.

Baru-baru ini, dikatakan bahawa Islam rasa terancam bila pendebat Muslim tidak dibenarkan untuk dedah fakta-fakta aib agama lain.

Tetapi agama lain yang jadi mangsa juga akan rasa terancam dengan pendedahan ini walaupun ia adalah fakta yang benar.

Isunya ialah bagaimana meletakkan perasaan terancam ini pada wacana yang relevan supaya perasaan terancam bertukar menjadi penawar.

Kemahiran komunikasi silang budaya perlu menjadi tulang belakang interfaith dialog agar dakwah tidak tertumpu pada menang-kalah penghujahan.

Inilah peranan NUIM-Yadim. Yang Dipertua Yadim, Nik Omar telah memberi ucapan tentang usaha Yadim Malaysia Baharu yang patut mengutamakan “Ibadah Ta’aamuliyyah” iaitu ibadah berinteraksi antara budaya.

Pada Jumaat 3 Mei 2019, Yadim telah memberi watikah kepada 30 panelis pemikir sebagai thinktank Yadim bernama NUIM.

Berprestij

Syukur kerana saya juga diberi watikah yang berprestij ini. Tetapi tanggungjawabnya teramat berat untuk sentiasa mengemas kini wacana Yadim agar ia tidak syok sendiri.

Jika Huawei ingin menghasilkan jenis telefon bimbit yang mampu monopoli pasaran, ia perlu sebagai langkah pertama mengenal pasti siapa pesaing utamanya.

Kalau pesaingnya ialah Samsung, maka KPInya ialah menghasilkan telefon yang lebih canggih daripada Samsung.

Demikian juga, kalau Yadim ingin menghasilkan wacana terbaik, ia perlu mengenal pasti siapa pesaing utamanya.

Maka KPI usahanya perlu dibandingkan dengan usaha pesaing utamanya.

Ini bertepatan dengan tagline Yadim yang baru iaitu Fastabiqul Khairat yang bermaksud “Berlumba-lumba Mengejar Kebaikan”. Perlumbaan ini maknanya perlu di tanam mindset bersaing.

Yadim dulu tidak gagah dan tidak menonjol kerana banyak program dibuat adalah syok sendiri.

Ia tiada mindset fastabiquu iaitu berlumba-lumba. Ia rasa cukup dengan alasan sekadar sampaikan daripada Nabi SAW walaupun satu ayat!

Umat Islam tidak harus berusaha sekadar menjadi jaguh kampung seperti menegakkan ketuanan satu bangsa.

Saya lihat isu bangsa begitu dibesarkan sehingga Sabah Sarawak rasa terancam dengan ketuananisme, lalu menuntut untuk menjadi negara.

Bila ketuanan Melayu selalu dijadikan bahan politik untuk jual parti politik, kita lupa sensitiviti Iban, Kadazan dan Bumiputra lain.

Mereka adalah majoriti di Sabah Sarawak. Apa pandangan mereka terhadap Islam? Islam agama untuk jaga ketuanan Melayu sahaja?

Maka Dr Mujahid Yusof telah meletakkan ayat Quran “Rahmatan Lil-’Aalamiin” sebagai tagline wacana Islamisasi.

Yadim diharapkan untuk berlumba-lumba bersaing dengan budaya rasisme demi menjadikan Islam agama global, bukan agama ketuanan satu bangsa.

Maka apakah wacana universal dan global yang Yadim perlu perhalusi dan tonjolkan? Contohnya, adakah perlu menolak atau menerima ICERD, Statut Rom?

Kita juga lihat bagaimana Israel yang hanya mempunyai lapan juta rakyat tetapi tetap memonopoli dunia pemikiran inovasi.

Apakah wacana yang kita perlu bawa untuk bersaing dengan wacana liberalisme Israel yang begitu dikagumi oleh generasi muda?

Kini, Yadim tersedar daripada tidur nyenyak yang begitu lama dan mula mengorak langkah.

* Abdul Naser Tun Rahman ialah Tokoh Pendakwah Perak


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!