Idaman Corner perintis program UPJB

Akmal (kiri) bergambar bersama penjaja yang dipilih ketika perasmian lot jualan kelmarin.
Akmal (kiri) bergambar bersama penjaja yang dipilih ketika perasmian lot jualan kelmarin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pembukaan ruang jualan dikenali sebagai Idaman Corner di Taman Larkin Idaman di sini akan menjadi projek perintis bagi program Usahawan Parlimen Johor Bahru (UPJB).

Ahli Parlimennya, Akmal Nasir berkata, inisiatif itu juga merupakan kaedah digunakan pihaknya bagi membantu peniaga kecil dalam kawasannya memperoleh saluran betul untuk berniaga sekali gus mendapatkan lesen perniagaan yang sah.

Menurutnya, Idaman Corner yang terdiri daripada lapan lot yang lengkap dengan gerai jualan itu akan diserahkan kepada peniaga tepi jalan yang sebelum ini mencari rezeki tanpa mempunyai lesen yang sah.

"Untuk program ini, Parlimen Johor Bahru memperuntukkan RM50,000 yang melibatkan pemberian tapak kepada lapan penjaja. Mereka ini juga telah berniaga bertahun-tahun di sekitar kawasan ini tanpa lesen.

"Jadi antara isu yang menjadi pertikaian adalah tiada tempat untuk berniaga dan juga kos yang tinggi, jadi untuk tangani masalah ini, kita telah jumpa satu kawasan yang strategik iaitu ada kaki lima cukup luas serta mendapat kelulusan pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa hadir merasmikan pembukaan lot Idaman Corner Taman Larkin Idaman, kelmarin.

Akmal berkata, sebagai permulaan juga, pihaknya akan memastikan peniaga di kawasan tersebut mendapatkan diskaun pembayaran tapak sekurang-kurangnya tiga bulan untuk memastikan perniagaan mereka stabil terlebih dahulu.

"Untuk dapatkan kebenaran majlis sebelum ini, kita telah ditetapkan beberapa syarat iaitu melibatkan aspek utiliti, masa perniagaan dan paling utama adalah kebersihan. Untuk syarat ini semestinya ia memerlukan kos tambahan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, untuk menguruskan perkara itu peniaga ini akan tetap dikenakan bayaran tetapi jumlahnya bersesuaian iaitu tidak melebihi RM350 sebulan. Cuma untuk permulaan ini kita akan beri diskaun dahulu untuk memberi mereka ini ruang stabilkan perniagaan mereka," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya juga akan meneliti permohonan dan cadangan untuk meluaskan lagi program UPJB di kawasan lain di bawah pentadbiran Parlimen Johor Bahru.

"Kita ada terima juga aduan daripada beberapa kawasan lain berhubung masalah ini, ada perancangan tetapi kita kena melihat kepada kesesuaian kawasan itu dahulu," katanya.