Motif serangan Hadi terhadap Anwar

Hadi dan Anwar
Hadi dan Anwar
A
A
A

BARU-baru ini akhbar The Malay Mail bertarikh 28 April 2019 telah melaporkan persoalan yang ditimbulkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tentang kewajaran Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson.

Abdul Hadi mempersoalkan mengapa Anwar memilih untuk bertanding di kerusi majoriti pengundinya bukan daripada kalangan Melayu Islam.

Beliau menyebut bahawa pecahan pengundi Port Dickson ialah Melayu 43 peratus, Cina 33 peratus, India 22 peratus dan lain-lain 2 peratus tidak mencerminkan komposisi bangsa di Malaysia. Jadi, kata Abdul Hadi, kemenangan Anwar tidak boleh menjadi ukuran populariti beliau dalam kalangan Melayu Islam yang merupakan kumpulan majoriti di Malaysia.Persoalan terbaru yang ditimbulkan oleh Abdul Hadi ke atas Anwar itu pada umumnya boleh kita terima sebagai perbezaan pendapat antara dua tokoh pemimpin politik.

Pandangan yang berbeza itu juga boleh kita terima sebagai satu lumrah politik dan fitrah manusia yang mengejar matlamat masing-masing.

Tetapi oleh kerana kedua-dua tokoh politik tersebut berjuang di atas landasan agama, maka kita berhak untuk mengharapkan satu persaingan yang sihat yang bersandarkan kepada prinsip dan hukum-hakam agama. Satu persaingan yang sewajarnya mengangkat martabat dan kehebatan Islam sebagai rahmatan lil alamin, yang mampu membawa dan menzahirkan sifat dan ciri yang murni seorang pejuang Islam.

Namun dalam konteks persaingan di antara Abdul Hadi dan Anwar, ia tidak begitu jadi. Bagi kita yang mengikuti sejarah, kita tahu Abdul Hadi tidak lagi rasional dalam kritikan dan serangannya ke atas Anwar. Sehingga ramai pemerhati politik berpendapat bahawa Abdul Hadi banyak dipengaruhi oleh rasa benci, cemburu dan iri hati kepada Anwar, bukan lagi kerana perbezaan prinsip perjuangan di antara mereka, sebaliknya berbentuk peribadi. Kadang-kadang serangan Abdul Hadi melangkawi norma, batasan dan sempadan biasa.Kenapa sekarang Abdul Hadi mahu pertikaikan keputusan Anwar bertanding di Port Dickson? Lupakah Abdul Hadi bahawa Anwar menang dengan majoriti yang besar kerana sokongan padu daripada pengundi Melayu? Anwar sebelum ini menang besar di Permatang Pauh, kerusi majoriti Melayu.

Anwar telah dinobat sebagai bakal Perdana Menteri yang akan menggantikan Tun Mahathir. Dia perlu menjadi Perdana Menteri untuk rakyat Malaysia. Bukan hanya menjadi Perdana Menteri kepada Melayu Islam. Anwar sudah membuktikan bahawa dia berani berpindah negeri bertanding dari tempat selamatnya di Permatang Pauh ke kerusi campuran Port Dickson di negeri Sembilan. Beranikah Abdul Hadi keluar dari Terengganu bertanding di pantai barat? Beranikah Hadi pindah ke kerusi campuran?

Hairannya kenapa Abdul Hadi terlalu benci, dengki dan marah kepada Anwar sedangkan Anwar tidak pernah derhaka kepada wadah perjuanganya? Abdul Hadi sudah berulangkali berubah dalam pendirian politiknya sehingga Pas berpecah-belah. Kita mendapat gambaran seolah-olah Abdul Hadi amat takut kepada ketokohan Anwar sebagai pemimpin umat Islam.

Artikel Berkaitan:

Dahulu Abdul Hadi pernah mengkafirkan UMNO tetapi sanggup berpelukan dengan pemimpin UMNO. Abdul Hadi pernah berpelukan dengan Kit Siang dan Guan Eng tetapi kini memusuhi DAP.

Perjuangan Anwar atas manhaj Islam rahmat seluruh alam, inklusif, keadilan dan kemanusiaan sejagat meninggalkan Abdul Hadi jauh ke belakang dari segi kosep kenegaraan, pengisian dan maqasid siayasah Islamiah.

Abdul Hadi berjuang untuk Islam mengikut tafsir dan takrifnya yang berbeza-beza dari satu masa ke satu masa mengikut kemahuan politiknya. Maka fatwa tentang hukum-hakam, hudud, halal haram, bohong dan benar, kafir mengkafir sering berubah-berubah.

Anwar pula berjuang untuk ummah yang dahagakan keadilan dan kesejahteraan. Sebelum tangan mereka dipotong, Anwar mahu pastikan mereka cukup makan untuk keluarga, punya kerja tetap dengan pulangan yang mencukupi, kediaman, pakaian dan hak-hak asasi yang lain.

Kadang-kadang kita tertanya-tanya mengapa Hadi jadi begitu?

Sumber dalaman PKR, Pak Abu yang juga bekas Presiden JIM berpendapat bahawa saingan Abdul Hadi dan Anwar bukan saingan biasa. Mereka bersaing sejak dari muda sehingga di umur senja. Mereka bersaing untuk menampilkan siapakah di antara mereka yang lebih terampil dan hebat dalam gerakan Islam.

Menurut Pak Abu lagi, Anwar berjaya membina imaginasi gerakan Islam dunia sehingga dia yang tidak mampu bercakap Arab pun terlebih dahulu berkawan rapat dengan tokoh-tokoh hebat gerakan Islam seluruh dunia berbanding Abdul Hadi.

Malahan, semasa Abdul Hadi dilantik menjadi salah seorang yang berjawatan dalam kesatuan ulama antarabangsa pun, Yusof Al-Qaradawi meminta pandangan daripada Anwar terlebih dahulu.

Bagi penyokong dan pengkritik tegar Abdul Hadi dan Anwar, mungkin apa pun penilaian yang dibuat oleh orang lain yang berbeza dengan kepercayaan mereka tidak akan membawa apa-apa kesan kepada mereka.

Tetapi bagi rakyat biasa yang neutral dan mahu mencari kebenaran, mereka perlu berlapang dada, menilai secara objektif dan rasional agar mereka dapat membuat pilihan yang adil dan bijak nanti. Siapakah yang lebih layak diberi kepercayaan di antara kedua-dua tokoh tersebut.

Tepuk dada tanya selera tapi jangan ikut sentimen kepartian. Kita guna akal fikiran secara logik bersandarkan kepada kenyataan dan kebenaran.

Jika boleh kita mahu melihat penyatuan diantara kedua-dua tokoh tersebut untuk agenda Islam yang lebih besar.

*** Wan Haron Wan Hassan ialah seorang peguam.