Perjuang hak pengusaha kantin

Ahli Jawatankuasa PPKSM yang menhadiri mesyuarat persatuan itu Sabtu lalu.
Ahli Jawatankuasa PPKSM yang menhadiri mesyuarat persatuan itu Sabtu lalu.
A
A
A

BANGI - Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) melantik panel peguam bagi membantu memberi khidmat nasihat dalam menangani beberapa isu semasa berkaitan pengurusan kantin sekolah.

Timbalan Pengerusinya, Bashir Yusoff berkata, pelantikan panel peguam berkenaan secara tidak langsung membantu perjuangan hak pengusaha kantin dalam isu perjanjian yang dipercayai tidak dipatuhi pihak sekolah.

Menurutnya, pihaknya menerima aduan mengenai penjualan makanan dan minuman yang dipercayai tidak sihat serta mengandungi gula dan pengawet di koperasi sekolah.

“Makanan dan minuman yang dijual disediakan oleh individu yang terdiri daripada pelajar sekolah yang tidak diberi suntikan typhoid dan menghadiri kursus pengendalian makanan,” katanya pada mesyuarat PPKSM di sini Sabtu lalu.

Beliau berkata, pihaknya tidak menafikan ada guru besar atau pengetua yang bagus serta mengutamakan pengurusan kantin.

“Pihak sekolah boleh berinteraksi dengan pengurusan kantin dan setiap pengendali kantin dipantau oleh Kementerian Kesihatan daripada segi proses penyediaan makanan, tempat penyediaan yang bersih dan selamat. Menu makanan yang kita dijual seperti makanan yang sihat, berkhasiat dan berzat,” katanya.

Menurutnya, pengurusan kantin dianggap sebagai pembekal makanan kepada guru dan pelajar secara eksklusif yang mana terma ‘eksklusif’ itu hanya seperti di atas kertas semata-mata.

“Perkara ini sudah ada perjanjian antara pengusaha kantin dan pihak sekolah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Penolong Setiausaha PPKSM, Salmah Othman mendakwa, ada pengurusan sekolah membenarkan peniaga food truck berniaga di dalam sekolah pada karnival yang berlangsung pada hari biasa.

Katanya, kemasukkan food truck ini boleh menjejaskan pendapatan pengusaha kantin jika dibiarkan berleluasa.

“Kita risau mengena isu kesihatan warga sekolah. Perkara sebegini perlu dipandang serius oleh pihak berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, peguam, Nurliny Yusoff @ Che Soh berkata, beliau akan melihat semula perjanjian dipersetujui dua pihak berkenaan sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Saya akan melihat sama ada pengusaha kantin atau pihak sekolah berkemungkinan ada melanggar perjanjian atau tidak.

“Sekiranya ada pelanggaran mana-mana pihak, saya akan mengusulkan beberapa cadangan kepada PPKSM untuk mengambil tindakan yang tidak terlalu drastik seperti perbincangan mengenai terma perjanjian yang telah dilanggar dan kesan kepada pelanggaran perjanjian itu,” katanya.