Gobind yakin rakyat Sandakan mampu beri kemenangan kepada DAP

Pengerusi Parti DAP Selangor Gobind Singh Deo menyampaikan ceramahnya pada Majlis Ceramah Umum sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen P186 Sandakan di Taman Sentosa malam ini. Foto: Bernama
Pengerusi Parti DAP Selangor Gobind Singh Deo menyampaikan ceramahnya pada Majlis Ceramah Umum sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen P186 Sandakan di Taman Sentosa malam ini. Foto: Bernama
A
A
A

SANDAKAN - Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo yakin masyarakat Sandakan mampu memberi kemenangan kepada calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan iaitu Vivian Wong Shir Yee pada 11 Mei ini.

Beliau berkata dengan kemenangan itu membuktikan bahawa rakyat Sandakan memberi sokongan kepada legasi kepimpinan ayah Vivian, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

Katanya, ia juga bukti sokongan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Malah itu juga menunjukkan rakyat Sandakan menyokong Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya kepada pemberita selepas Ceramah Umum kempen PRK bersama calon DAP di Sandakan, di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew serta Anggota Dewan Undangan Negeri parti komponen PH. Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Anggota Parlimen Puchong itu mahu pengundi di Parlimen Sandakan menaruh kepercayaan kepada calon DAP itu, seterusnya keluar mengundi pada hari pengundian Sabtu ini.

Mengulas mengenai calon yang bertanding dalam PRK itu, beliau berharap supaya setiap calon yang berkempen mematuhi peraturan seperti yang ditetapkan.

"Pada Sabtu ini biarlah rakyat Sandakan yang membuat keputusan siapakah yang menjadi calon pilihan mereka untuk membawa suara Sandakan ke Dewan Rakyat," katanya.

Pada PRK Sandakan ini, Vivian ditentang calon Parti Bersatu Sabah Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas iaitu Hamzah Abdullah, Chia Siew Yung dan Sulaiman Abdul Samat. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Artikel Disyorkan