Kaji semula undang-undang zalim antara agenda KDN: Muhyiddin

Muhyiddin bercakap pada sidang media Pencapaian Setahun Kementerian Dalam Negeri di Bawah Kerajaan Pakatan Harapan di Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini. - Foto Bernama
Muhyiddin bercakap pada sidang media Pencapaian Setahun Kementerian Dalam Negeri di Bawah Kerajaan Pakatan Harapan di Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Meminda atau memansuhkan undang-undang keselamatan yang dianggap zalim seperti SOSMA, POCA dan POTA adalah antara pencapaian penting Kementerian Dalam Negeri (KDN), sepanjang setahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerajui negara.

Undang-undang ini yang diwujudkan kerajaan terdahulu, disifatkan PH sebagai ‘menindas’ dan ‘sewenang-wenang’ menafikan hak pesalah mendapatkan perbicaraan yang adil sepertimana terkandung dalam manifesto pilihan raya PH atau Buku Harapan.

Menurut menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin, Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Perhimpunan Aman 2012 kini berada di peringkat akhir untuk dimuktamadkan dan dibawa ke Jemaah Menteri untuk kelulusan.

"Saya menjangkakan kedua-dua RUU ini akan dapat dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang.

"Manakala POCA, POTA ini masih di peringkat diperhalusi, itu satu dua perkara yang saya boleh sebutkan," katanya pada wawancara bersama media di Kompleks KDN pada Khamis tentang pencapaian kementeriannya sempena ulang tahun pertama pentadbiran PH. Terdapat enam akta, yang sama ada perlu dipinda atau dimansuhkan iaitu Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984, Akta Perhimpunan Aman, dan SOSMA.

Dalam pada itu, isu lambakan PATI juga sedang ditangani dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama KDN dan Kementerian Sumber Manusia untuk mengkaji pemintaan sebenar pekerja asing di negara ini dan mewujudkan sistem pengurusan pekerja asing yang lebih holistik dalam usaha membanteras PATI.

"Masalah itu masih dalam proses (untuk) kita tangani dan kita akan cari jalan tindakan lain dengan meminta kerjasama kerajaan negeri, dan pihak lain di akar umbi seperti penghulu kampung.

"Ini kerana mereka mengetahui perkara berlaku (di kawasan), jadi kita dapat kurangkan masalah PATI,” katanya sambil menunjukkan perangkaan dari Jan hingga Mac lepas, dengan 11,234 PATI telah ditahan di atas pelbagai kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, dalam usaha memastikan keselamatan dan ketenteraman, program berimpak tinggi seperti bandar selamat melibatkan penggunaan teknologi tinggi dan penambahbaikan infrastruktur seperti kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) mampu mengurangkan kadar jenayah dan meningkatkan rasa selamat rakyat, katanya. Dalam perkembangan berkaitan, KDN juga komited dalam pelaksanaan memperbaiki imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai sebuah pasukan yang dihormati, disegani, bertanggungjawab memelihara keamanan dan keselamatan sebagaimana termaktub dalam janji ke-20 manifesto PH.

Muhyiddin turut berkata masalah yang dilakukan kerajaan terdahulu berjaya diselesaikan PH terutama yang melibatkan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.

Jelasnya, rakyat mungkin menganggap kerajaan mengambil masa lama untuk memulihkan Malaysia Baharu, namun dalam tempoh setahun PH yang ditunjangi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyelesaikan banyak isu yang menjadi kepincangan negara.

Ini termasuk isu kerugian yang ditanggung FELDA, Tabung Haji dan beberapa agensi lain telah, sedang dan akan diselesaikan kerajaan.

Lantaran itu, beberapa masalah yang dihadapi rakyat seperti yang dijanji untuk diselesaikan dalam manifesto terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu agar isu yang lebih besar tidak semakin melarat. Menurut beliau, tiada perbezaan ketara bekerja di bawah kepimpinan Dr Mahathir sekarang berbanding sebelum ini melainkan pentadbiran PH kali ini berhempas pulas untuk menghapuskan stigma kleptokrasi yang diwujudkan kerajaan terdahulu.

Dalam pada itu beliau turut mengakui kelemahan kementeriannya dalam menyampaikan respon kepada rakyat terutama mengenai kejayaan KDN namun kini hal itu sedang diperbaiki bagi memastikan setiap maklumat dapat disalurkan dengan segera khususnya melalui media sosial. - Bernama