Juruterbang dakwa kilat punca pesawat Rusia mendarat cemas

Pasukan penyiasat berada di lokasi kejadian pesawat Rusia terbakar sejurus mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Sheremetyevo, semalam.- Foto AFP
Pasukan penyiasat berada di lokasi kejadian pesawat Rusia terbakar sejurus mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Sheremetyevo, semalam.- Foto AFP
A
A
A

MOSCOW - RUSIA. Juruterbang pesawat Rusia yang terbakar sejurus mendarat cemas di salah satu lapangan terbang paling sibuk di Moscow semalam dan menyebabkan kematian 41 penumpang berkata, kilat merupakan punca pesawat terpaksa mendarat cemas.

Kumpulan penyiasat masih cuba merungkai punca kebakaran selepas pesawat Sukhoi Superjet 100 milik Aeroflot itu terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sheremetyevo tidak lama selepas berlepas.

Juruterbang Denis Yevdokimov memberitahu media Rusia, pesawat terbabit terputus hubungan dan perlu bertukar kepada kawalan kecemasan disebabkan terkena kilat ketika dalam perjalanan menuju ke bandar Murmansk, di barat laut Rusia.

Yevdokimov bagaimanapun tidak menjelaskan sekiranya pesawat terkena kilat secara langsung.

"Kami berjaya mengembalikan komunikasi melalui frekuensi kecemasan di radio.Namun talian kerap terputus," kata Yevdokimov.

Yevdokimov percaya, pesawat terbabit terbakar ketika mendarat disebabkan tangki minyak yang penuh.

Menurut pihak berkuasa, selain mangsa yang maut, sembilan penumpang dimasukkan ke hospital, tiga daripada mereka mengalami cedera parah.

Pesawat membawa 73 penumpang dan lima anak kapal itu berlepas dari Sheremetyevo pada jam 6.02 petang (waktu tempatan) dan kru mengeluarkan isyarat kecemasan tidak lama kemudian.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, sumber pasukan kecemasan Rusia memberitahu agensi berita, kotak hitam pesawat malang itu telah ditemukan dan diserahkan kepada pasukan penyiasat. -AFP