Roger Ng diserah sementara kepada AS 3 Mei lepas: Tommy Thomas

Tommy Thomas
Tommy Thomas
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng telah diserahkan secara sementara kepada Amerika Syarikat pada 3 Mei lepas bagi menghadapi tiga pertuduhan jenayah berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Negara Tommy Thomas berkata penyerahan sementara Roger Ng atau nama sebenar Ng Chong Hwa dibuat bagi tempoh 10 bulan, hasil rundingan dan persetujuan oleh Kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat.

"Secara praktiknya akibat daripada Roger Ng menghadapi pertuduhan jenayah secara serentak bagi jenayah-jenayah yang berbeza di bawah dua sistem yang berbeza di dua negara, bermaksud dia mestilah dibicarakan di kedua-dua mahkamah, di Malaysia dan di Amerika Syarikat.

Waran Penyerahan Sementara Roger Ng telah ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 25 April, selaras dengan terma-terma Triti Ekstradisi antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Thomas, Ng akan dipulangkan semula ke Malaysia untuk menghadapi pertuduhan-pertuduhan di negara ini, sebaik sahaja prosiding di Amerika Syarikat dimuktamadkan. Bagaimanapun tempoh penyerahan sementara Ng boleh disambung sekiranya dipersetujui oleh Malaysia dan Amerika Syarikat.

Thomas berkata persetujuan itu juga membuktikan kerjasama akrab antara agensi-agensi kerajaan​​​​​​​ yang berkaitan bagi kedua-dua negara dalam semua perkara berhubung dengan skandal 1MDB.

Sebelum ini Jabatan Peguam Negara telah menerima permintaan ekstradisi daripada Amerika Syarikat pada 23 Oktober 2018 terhadap Ng, dan menangkapnya pada 1 November 2018 untuk diekstradisi ke negara itu.

Pada 18 Disember 2018, Ng pula dituduh oleh pendakwa raya di mahkamah Malaysia bagi kesalahan-kesalahan melanggar Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, iaitu empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs, sebuah bank pelaburan Amerika Syarikat berhubung dengan pengeluaran bon 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Pada 15 Februari 2019, Ng telah memaklumkan mahkamah keputusan untuk mengetepikan prosiding ekstradisi dan bersetuju untuk menyerah diri kepada bidang kuasa mahkamah Amerika Syarikat untuk menghadapi pertuduhan jenayah konspirasi melanggar peruntukan antirasuah, konspirasi melanggar peruntukan kawalan perakaunan dalaman dan konspirasi melakukan pengubahan wang haram di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat, Daerah Timur New York, Amerika Syarikat. - Bernama