Dr Mahathir, TMJ diminta henti berbalah

Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim
A
A
A

JOHOR BAHRU - PKR Johor menyeru Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim agar berhenti berbalah secara terbuka.

Pengerusinya, Hassan Abdul Karim berkata, tindakan itu tidak manis memandangkan kedua-duanya mempunyai kedudukan tinggi.

"Sempena hari baik, bulan baik di bulan Ramadan ini, saya menyeru kepada Dr Mahathir dan TMJ agar hentikan perbalahan pendapat secara terbuka.

"Dr Mahathir adalah ketua eksekutif negara dan seorang bertaraf negarawan, tak manis terus berbalah pendapat yang kadang-kadang kelihatan agak peribadi apabila menyerang TMJ.

"Begitu juga, TMJ adalah pewaris takhta Johor yang mempunyai kepimpinan karismatik, berani serta bijak berbicara akan hilang seri dan hilang hormat daripada kalangan rakyat jika berterusan menentang Dr Mahathir secara terbuka," katanya dalam satu kenyataan,hari ini.

Ketegangan hubungan antara Dr Mahathir dengan Tunku Ismail terus berlarutan apabila mereka kerap berbalas kenyataan melalui media.

Terbaharu, pemimpin nombor satu negara itu dilaporkan mengkritik dengan kenyataan yang agak kasar terhadap Tunku Ismail dalam satu temubual khas bersama media, hari ini.

Hassan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hubungan Negeri-Negeri dan Persekutuan berkata, hubungan baik antara kerajaan Pusat dengan istana Johor akan memudahkan menteri besar dan barisan exco menjalankan tugas masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Saya sekali lagi menyeru supaya dibina hubungan yang baik antara Kerajaan Johor dengan Kerajaan Persekutuan.

"Hubungan peribadi yang baik antara Perdana Menteri dengan TMJ dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan memudahkan menteri besar serta jemaah exco yang baharu dilantik melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka kepada rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Hassan yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang turut menawarkan peranan sebagai jambatan perhubungan baik antara Dr Mahathir dengan istana Johor.