DBP perlu gerak seiringan dengan KPM: Maszlee

Dr Maszlee (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama strategik yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad Syed Md Najib Syed Md Noor (dua, kanan) dan Pengurus Besar ITBM Sakri Abdullah (dua, kiri) pada Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) Bersama Pos Malaysia sempena kempen #MALAYSIAMEMBACA di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur hari ini. -Foto Bernama
Dr Maszlee (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama strategik yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad Syed Md Najib Syed Md Noor (dua, kanan) dan Pengurus Besar ITBM Sakri Abdullah (dua, kiri) pada Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) Bersama Pos Malaysia sempena kempen #MALAYSIAMEMBACA di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disaran untuk bergerak seiringan dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan lebih proaktif dalam menghasilkan lebih banyak penerbitan karya dan buku bahasa yang lebih berkualiti.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata DBP ketika ini dilihat tidak mengikut rentak dan kurang momentum dalam bergerak seiringan bagi mempromosi serta memperkembangkan bahasa dan budaya dengan begitu meluas.

Katanya adalah menjadi impian dan inisiatif beliau untuk menaikkan taraf DBP supaya setaraf dengan Goethe-Institute di Jerman ataupun British Council di United Kingdom yang popular dalam mengembangkan bahasa dan budaya negara masing-masing menerusi penerbitan karya-karya berkualiti.

"Tapi saya nampak DBP masih merangkak (ketinggalan) dan tidak berlari seiring dengan saya. Jadi saya tidak mahu kata-kata saya sekadar terbenam dalam catatan-catatan hansard (penyata rasmi) Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran kerjasama strategik Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)-Pos Malaysia sempena #MalaysiaMembaca di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur di sini, hari ini. Kerjasama strategik itu akan mewujudkan sudut membaca di pejabat-pejabat pos di seluruh Malaysia yang dilihat langkah terbaik bagi menggalakkan rakyat Malaysia mengisi ruang masa yang ada dengan membaca.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan berhasrat menjadikan DBP sebagai pusat rujukan bahasa Melayu setaraf dengan institut bahasa lain yang dimiliki negara maju dalam tempoh lima tahun.

Maszlee turut berkata dalam usaha mencerdikkan akal budi bangsa pada masa kini, rakyat Malaysia tidak lagi hanya boleh disogokkan dengan lambakan buku di perpustakaan serta kedai buku semata-mata.

Oleh itu, beliau memuji inisiatif penjualan buku serta penyediaan khidmat terjemahan ITBM melalui kaunter Pejabat Pos Malaysia yang akan diperkenalkan secara berperingkat di seluruh negara sebagai satu daripada langkah meluaskan capaian kepada bahan terbitan berkualiti dan perkhidmatan penterjemahan.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, apa yang Pos Malaysia bersama-sama ITBM laksanakan pada hari ini perlu dijadikan contoh atau penanda aras oleh pihak lain seperti hospital swasta, syarikat telekomunikasi, syarikat automobil, institusi kewangan dan pusat membeli-belah.

Sementara itu, dalam sidang media kemudiannya, Maszlee berkata beliau menyambut baik lebih banyak penglibatan syarikat swasta dalam memberikan kerjasama terhadap pembangunan dan pembentukan budaya negara, khususnya dalam bidang perbukuan.

Syarikat swasta seperti Petronas dan QSR Brands (M) Holdings Bhd secara lisan bersetuju untuk menyokong kempen #MalaysiaMembaca itu yang dilihat dapat membantu merancakkannya lagi. -Bernama