Kerajaan akan pastikan tiada peluang '1MDB lain' muncul: Guan Eng

Guan Eng
Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memastikan tiada peluang bagi ‘1MDB lain’ untuk muncul dan menimbulkan masalah kepada negara, sama ada oleh kepimpinan semasa atau mana-mana kepimpinan akan datang, yang terlibat rasuah semasa berkuasa.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata agenda utama kerajaan baharu ialah memulihkan semula kredibiliti dan kepercayaan kepada kerajaan dan institusi awam dengan mendukung integriti serta menghapuskan rasuah.

"Tiada isu yang lebih buruk untuk pengajaran awam dan tadbir urus korporat selain skandal 1MDB, sehingga menyebabkan kerajaan yang berkuasa selama lebih 60 tahun digulingkan.

"Penyalahgunaan kuasa secara melampau oleh menteri kewangan dan perdana menteri ketika itu, tahap penggelapan dan pelesapan wang berlaku melibatkan puluhan bilion ringgit, mengakibatkan kesan negatif kepada negara, menjadikan Malaysia negara kleptokrasi global,” katanya dalam ucaptama di pelancaran laporan Pemantauan Tadbir Urus Korporat (CG) 2019 di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Setiausaha Politik beliau, Tony Pua.

Guan Eng berkata kerajaan melancarkan Pelan Antirasuah Nasional pada Januari tahun ini untuk mencapai aspirasi negara dalam menjadikan Malaysia dikenali atas integritinya bukan rasuah selain membangunkan negara bebas rasuah yang mendukung ketelusan dan kebertanggungjawapan.

Parlimen turut memperkenal peruntukan liabiliti korporat dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dengan organisasi komersial dan para pengarahnya boleh dipertanggungjawabkan atas perbuatan rasuah yang dilakukan mana-mana pihak berkaitan organisasi itu, termasuk kakitangannya.

"Justeru itu, sejajar dengan pemulihan semula kredibiliti dan prestasi baik negara, kami gembira memaklumkan bahawa Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia mengesyorkan lembaga pengarah mewujudkan Kod Amalan dan Etika yang merangkumi dasar dan prosedur antirasuah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Guan Eng juga menyarankan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) meneliti pampasan yang lebih adil untuk pekerja di syarikat berprestasi baik bagi dimasukkan dalam laporan Pemantauan CG tahun depan.

"Kita perlu, bagaimanapun, tidak mengehadkan diri kita dengan hanya mengutamakan ganjaran ketua pegawai eksekutif. Sekiranya syarikat Malaysia mencatatkan prestasi positif, sumbangan pekerja juga perlu diberi ganjaran sewajarnya.

"Pampasan pekerja di Malaysia berdasarkan peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar hanya pada 35.2 peratus pada 2017, berbanding negara seperti Singapura dan Korea Selatan yang melebihi 40 peratus," katanya.

Beliau berkata, korporat Malaysia, perlu melaksanakan peranannya dalam memastikan pekerja Malaysia meraih gaji yang setimpal selain persekitaran kerja yang kondusif. -Bernama