Warga emas rentung, rumah kedai terbakar

Mangsa seorang warga emas ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah kedai di Jalan Pekan, Salak Selatan, Kuala Lumpur, pagi tadi.
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang warga emas rentung dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di Jalan Pekan, Salak Selatan, di sini pagi semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 6.18 pagi.

Menurutnya, sebanyak empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak, BBP Hang Tuah, BBP Sentul dan BBP Seputeh dengan kekuatan 50 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira sembilan minit kemudian dan mendapati rumah kedai berkeluasan 20x70 kaki persegi itu terjejas 80 peratus dalam kebakaran itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki berusia lingkungan 70-an ditemukan dalam keadaan rentung di tingkat satu rumah terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 6.48 pagi.

Katanya, Unit Forensik Kebakaran hadir ke lokasi kejadian untuk menyiasat punca kebakaran.