Tiada rombakan Kabinet: Dr Mahathir

Dr Mahathir semasa sidang media di Bangunan Perdana Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Dr Mahathir semasa sidang media di Bangunan Perdana Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengulangi bahawa beliau tidak akan merombak Kabinetnya dan memberi sokongan 100 peratus kepada pasukannya.

"Mereka telah menunjukkan prestasi baik, tiada sebab untuk saya merombak Kabinet," kata beliau.

Bercakap pada sidang media khas sempena ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan, Perdana Menteri mengakui bahawa kebanyakan menterinya orang baru dan kurang berpengalaman ketika mereka mula-mula dilantik ke jawatan masing-masing.

"Tambahan pula, mereka sangat takut dituduh melakukan kesalahan. Ini menyebabkan mereka sukar hendak membuat keputusan tetapi mereka cepat belajar," kata Dr Mahathir. Apabila diminta memberi penilaian terhadap prestasi para menterinya, Dr Mahathir berkata beliau memberi mereka lima markah daripada 10 kerana beliau sangat konservatif.

"Kadang-kadang mereka melakukan sesuatu perkara tanpa merujuk pandangan saya terlebih dahulu, itu tidak sepatutnya dilakukan. Ia menyebabkan timbul beberapa masalah kecil. Tapi mereka belajar...

"Kadang-kadang mereka mendapat publisiti buruk daripada tindakan mereka itu, kemudian mereka datang berjumpa saya untuk bertanyakan apa yang patut dilakukan. Saya akan dengar apa yang mereka katakan dan memberikan penilaian,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata sebagai Perdana Menteri beliau cuba mengajar dan membimbing mereka dan beliau yakin mereka akan menunjukkan prestasi yang dapat menyamai orang berpengalaman jika mereka diberi masa. - Bernama

Artikel Berkaitan: