Masa untuk rakyat Melayu tolong Melayu

A
A
A

PARTI-PARTI pembangkang amat gemar menguar-uarkan bahawa orang Melayu masih perlu dibantu oleh kerajaan yang tabung dananya datang daripada cukai orang-orang Melayu dan lebih banyaknya daripada bukan Melayu.

Sudah berpuluh tahun Dasar Ekonomi Baru yang dimulakan tahun 1970-an tetapi orang Melayu masih meminta kerajaan menanggung nasib orang Melayu.

Dalam artikel ini saya ingin mencadangkan bahawa telah tiba masanya orang Melayu sendiri yang menolong orang Melayu sebagai projek ibadat dan perubahan sosioekonomi.

Saya rasa sudah cukuplah rakyat bukan Melayu menanggung beban orang Melayu. Dua sebab kenapa?

Pertama, orang Melayu rata-rata saya lihat sudah lebih mempunyai kuasa belanja dan kehidupan yang baik. Masuk saja pusat beli-belah maka penuh dengan Melayu membeli jenama canggih.

Kalau bulan puasa, nak buka puasa di restoran seperti Tony Romas atau Manhattan Fish dan Kenny Roasters dan sebagainya, jangan harap nak dapat tempat sebab semua telah ditempah terlebih dahulu oleh orang Melayu.

Kedua, berbilion-bilion wang rakyat Malaysia yang telah dirompak oleh pemimpin Melayu sebagai tonggak Melayu. Wang berbilion ini hak orang-orang miskin Malaysia termasuk umat Melayu.

Tetapi malangnya orang Melayu masih menagih khazanah negara yang patutnya untuk hak rakyat berpendapatan rendah di Malaysia tidak kira kaum apa pun.

Artikel Berkaitan:

Saya rasakan kalau 100,000 orang Melayu kelas pertengahan yang berpendapatan campuran lebih RM10,000 sebulan boleh mengambil satu keluarga Melayu yang berpendapatan rendah maka kita umat Melayu boleh membasmi kemiskinan dan nasib Melayu sambil memohon pahala sebagai ibadat.

Ibadat membayar fidyah puasa, fitrah, sedekah dan zakat adalah wang dalam simpanan Melayu yang kita tidak ada hak ke atasnya melainkan ia sampai ke tangan orang-orang miskin. Bayangkan wang yang dapat membantu anak-anak Melayu untuk ke sekolah dan belajar.

Ada banyak cara selain memberi wang bulanan bagi membantu orang Melayu sebagai zakat atau sedekah kita. Kita juga boleh mengajar anak-anak mereka membaca buku Inggeris atau mengajar sedikit matematik sambil kita sendiri tengok anak-anak kita.

Kita boleh membawa anak-anak ini ke tempat-tempat peranginan yang kita pun dah pergi banyak kali. Kita boleh kurangkan pergi umrah setiap tahun dan sedekahkan kepada pembelajaran dan makan minum anak-anak Melayu yang berkeperluan.

Kita tak payah pergi haji berkali-kali dan fokuskan masa dan harta kepada yang lebih memerlukan bantuan kita sebagai tugas dan harta wakaf untuk orang-orang Melayu lain.

Tak perlulah masjid-masjid kita dibina kubah atau menara kerana ini hanya mencantikkan dan bukan sesuatu yang afdal jika dibandingkan kebajikan yang boleh dibuat dengan wang pembinaan elemen-elemen tersebut. Nabi sendiri melarang pembaziran dalam pembinaan apa-apa bangunan sekalipun. Kubah dan menara bukan elemen wajib.

Saya kira masanya telah tiba orang Melayu tinggalkan ahli-ahli politik yang asyik kata Melayu perlu bantuan kerajaan. Kitalah kerajaan. Tak payah parti-parti apa pun. Negara kita, kaum kita, tanggungjawab kita Melayulah. Siapa lagi!

Jangan dengar slogan parti-parti yang hanya mempunyai kepentingan masing-masing dan tanya mana pemimpin politik yang mempunyai wang simpanan beratus juta yang hanya dibelanjakan untuk kempen dan rasuah supaya mengagih kekayaan kepada orang Melayu secara terus. Saban hari kita lihat ramainya orang Melayu yang ditahan MACC kerana rasuah. Tabung Haji pun dirompak Melayu.

Ada pemimpin Melayu yang melaungkan perjuangan Melayu dengan alasan kedudukan istimewa orang Melayu. Saya berpendapat kedudukan istimewa orang Melayu hanya perlu apabila tiada siapa pun yang boleh membantu orang Melayu.

Sekarang, nah orang Melayu ramai yang berbelanja di restoran-restoran mahal hampir setiap malam. Kalau dikurangkan sedikit beberapa kali makan di Secret Recipe atau McDonald dan makan saja di restoran nasi ayam RM6 sepinggan, kita sudah boleh bantu berapa banyak keluarga dan anak-anak Melayu.

Masalah orang Melayu adalah mereka ingat tanggungjawab membantu Melayu lain adalah tanggungjawab kerajaan saja, bukan masalah mereka. Ini pandangan yang salah. Jika kita dapat membantu maka jatuh wajib dalam Islam kita membantu.

Marilah kita orang Melayu dalam bulan penuh makna ini memasang niat untuk membantu secara berterusan orang-orang Melayu sebagai jambatan kita ke akhirat dan sebagai menjadi elemen mengubah suasana ekonomi dan pendidikan umat Melayu dalam negara ini.

* Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi ialah Pensyarah UCSI University, Kampus Cheras, Kuala Lumpur