X

Kindly register in order to view this article
!

Hidayah melalui ibadat puasa

A
A

PUASA bermaksud menahan diri daripada sesuatu sama ada perbuatan, kata-kata ataupun makanan. Daripada sudut syarak, ia bererti menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari berserta niat. Ibadat puasa turut dilakukan oleh umat-umat terdahulu dan puasa Ramadan telah difardukan pada bulan Syaaban tahun kedua Hijrah.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud, “Hai orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Selain puasa wajib pada bulan Ramadan, umat Islam juga sangat digalakkan berpuasa sunat iaitu puasa selama enam hari pada bulan Syawal, puasa hari Arafah, puasa hari Asyura pada 10 Muharam, puasa bulan Syaaban, puasa Isnin dan Khamis dan puasa pertengahan bulan iaitu pada tanggal 13, 14 dan 15 tiap-tiap bulan qamaria (tahun Hijrah).

Antara syarat sah berpuasa ialah beragama Islam, berakal, suci daripada haid dan nifas sepanjang siang hari puasa bagi perempuan, berniat, serta menahan diri daripada segala yang membatalkan puasa.

Walaupun antara syarat sah berpuasa adalah beragama Islam, ada dalam kalangan mereka yang bukan Islam yang mencuba untuk menyelami pengalaman berpuasa sehingga akhirnya mendapat hidayah ALLAH SWT untuk memeluk Islam.

Menurut M Evan Cary, seorang diplomat yang bertugas di pejabat kedutaan Amerika Syarikat di Indonesia sebagai Setiausaha Pertama, beliau memeluk Islam pada tahun 1994 setelah kerap berpuasa sebelum itu kerana menyedari manfaat positifnya untuk kesihatan yang sudah terbukti dengan pelbagai kajian saintifik. Beliau mengakui tidak pernah menyukai segala hal berkaitan Islam kecuali puasa.

Menurut Cary lagi, beliau mula tertarik untuk mendalami Islam apabila menyedari makna puasa yang bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Puasa bulan Ramadan merupakan puasa dalaman atau perang menahan hawa nafsu yang jauh lebih sukar daripada menahan lapar dan dahaga.

Dengan izin dan kekuasaan ALLAH, ibadat puasa telah mendorong beliau untuk mengucap dua kalimah syahadah.

Saya sendiri juga sudah mula berpuasa sejak berada di tingkatan satu ketika di Maktab Tentera Diraja (MTD) walaupun pada permulaannya hanya mampu bertahan setengah hari.

Berpuasa di MTD lebih mencabar kerana latihan ketenteraan seperti berkawad diteruskan seperti biasa dan menahan dahaga merupakan cabaran yang terbesar ketika itu.

Memang benar, objektif utama perintah berpuasa adalah menahan diri dengan melawan hawa nafsu. Puasa merupakan medan latihan untuk mengurus serta melawan nafsu yang menjadi musuh utama manusia.

Firman ALLAH melalui ayat 53 Surah Yusuf bermaksud, “Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan.”

Untuk menjadi seorang Muslim yang bertakwa, seseorang itu perlu meningkatkan keupayaan diri bagi melawan hawa nafsu yang membelenggu hati dan fikiran.

Jika solat merupakan medan latihan untuk menghubungkan hati seseorang secara langsung dengan ALLAH, zakat menghilangkan rasa tamak kepada harta yang bukan milik kita, puasa pula merupakan ibadat khusus untuk melawan nafsu.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada saudara Michael Ang Hai Swee yang berjaya berpuasa tahun lepas dan sekarang boleh meneruskan hidup dengan tenang sebagai seorang Islam tanpa perlu berselindung lagi.

Semoga puasa tahun ini memberi lebih makna kepada beliau dan juga kepada mereka yang baru pertama kali berpuasa pada tahun ini. Ahlan wa sahlan ya Ramadan kareem!

*Johari Yap ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!