Love Scam: Geng warga asing lumpuh

Baharuddin menunjukkan antara barangan yang dirampas pada serbuan yang dijalankan, baru-baru ini.
Baharuddin menunjukkan antara barangan yang dirampas pada serbuan yang dijalankan, baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Shah Alam berjaya melumpuhkan satu kumpulan dipercayai terlibat dengan Love Scam sekali gus berjaya menyelesaikan sebanyak 11 kes dari tahun 2018 sehingga 2019 dengan jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM2.23 juta.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, pihaknya melalui Bahagian Siasatan Jenayah IPD Shah Alam melakukan serbuan di beberapa premis sekitar Lembah Klang.

"Hasil daripada serbuan, polis berjaya menahan 12 lelaki dan dua wanita terdiri sembilan lelaki warga Nigeria, seorang warga Ghana, dua lelaki warga Republic of Guinea, seorang perempuan warga Nigeria dan seorang perempuan warga Australia.

"Hasil soat siasat dijalankan kesemua suspek terlibat dalam kejadian jenayah sejak 2018 sehingga tahun ini membabitkan Love Scam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media yang diadakan di IPD Shah Alam hari ini.

Katanya, sasaran bagi penjenayah Love Scam ini lebih kepada wanita berumur, yang berpencen, serta wanita yang tinggal keseorangan.

"Sepanjang tempoh bermula Januari tahun ini sehingga April, sebanyak tujuh laporan polis telah diterima melibatkan kerugian sebanyak RM2 juta.

"Bagi sepanjang 2018, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam telah menerima sebanyak 16 laporan polis melibatkan jenayah Love Scam atau Parcel Scam yang mana jumlah kerugian yang dicatatkan adalah sebanyak RM893,511.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang mana boleh membawa hukuman penjara tidak kurang 1 tahun dan boleh sampai 10 tahun, sebat dan juga denda jika sabit kesalahan," katanya.

Menurutnya, sindiket ini menjadikan laman sosial Facebook sebagai senjata utama untuk menipu mangsa menggunakan ayat-ayat manis sebelum mengumpan mangsa secara halus untuk membuat transaksi pindahan wang.

"Modus operandi yang digunakan oleh sindiket bagi fasa pertama adalah menggunakan Facebook untuk berkenalan dengan mangsa dan cuba mendapatkan kepercayaan mangsa.

"Seterusnya, suspek akan membuatkan mangsa percaya bahawa dia adalah individu sebenar dalam Facebook tersebut.

"Kemudian apabila sudah mendapatkan kepercayaan, suspek akan menggunakan aplikasi WhatsApp meminta mangsa mengirim wang tanpa mengira jumlah bagi tujuan untuk mendapatkan barangan yang dikirim atau membantu suspek yang kononnya dalam kesusahan," katanya.

#Live #SinarHarianEdisiSelangorKL Sidang media kejayaan tangkapan kes-kes jenayah Komersil oleh Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib bertempat di Dewan Mawar, IPD Shah Alam. LAPORAN MOJO MUHAMMAD AMINURALIF MOHD ZOKI

Posted by Sinar Harian Edisi Selangor & KL on Sunday, May 5, 2019