Ringankan kos operasi nelayan

Sebahagian nelayan melihat peralatan yang diterima.
Sebahagian nelayan melihat peralatan yang diterima.
A
A
A
PORT DICKSON - Jabatan Perikanan memperuntukkan kos sebanyak RM48,000 untuk memberi bantuan ‘touch point’ kepada 73 nelayan laut dan lapan nelayan darat negeri ini.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Datuk Dr Bah Piyan Tan berkata, bantuan yang diberi terdiri dalam bentuk peralatan khas untuk kegunaan nelayan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 48 nelayan laut menerima tong insulasi ikan, lampu signal nelayan dan alat pemadam api; 25 lagi nelayan laut menerima radio walkie-talkie, boya keselamatan (lifebuoy) dan beg kalis air manakala lapan nelayan darat pula menerima tong 'coleman', pukat dan beg kalis air.

"Adalah diharapkan dengan sumbangan bantuan ini sedikit sebanyak ia dapat meringankan kos operasi dan meningkatkan hasil pendapatan nelayan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan 'touch point' kepada nelayan Negeri Sembilan, di Pusat Ikan Hiasan di sini, kelmarin.

Hadir sama Pengarah Bahagian Pengurusan Maklumat Jabatan Perikanan, Sukiman Hassan dan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip.

Bah Piyan berkata, setakat ini terdapat seramai 513 nelayan di negeri ini dengan 388 bot nelayan yang berlesen.

"Uniknya di Negeri Sembilan, kesemua nelayan lautnya adalah kategori nelayan tradisional iaitu menggunakan peralatan menangkap ikan tradisional seperti pukat hanyut, rawai, bubu dan pukat tarik.

“Walaupun kita mempunyai cara tangkapan moden, tetapi di sini semua nelayan masih mengekalkan cara tradisional," katanya.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, Bah Piyan berkata, Jabatan Perikanan Negeri Sembilan akan menerima peruntukan sebanyak RM320,000 pada tahun 2019 untuk pembinaan tukun konkrit.

Katanya, setakat ini sebanyak 42 unit tukun konkrit yang melibatkan peruntukan RM400,000 telah dibina dan ditempatkan di perairan laut Teluk Kemang.

"Tukun ini akan jadi tarikan kepada ikan dan habitat pelbagai jenis tumbuhan karang dan hidupan marin lainnya," katanya.