Saksi tertekan, siapkan kertas kerja pelaburan pinjaman RM4 bilion

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau berada dalam keadaan tertekan ketika menyediakan kertas kerja pelaburan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), berhubung pinjaman wang berjumlah RM4 bilion kepada Syarikat SRC International Sdn Bhd.

Bekas Penolong Naib Presiden di Jabatan Pendapatan Tetap KWAP, Amirul Imran Ahmat, 39, berkata beliau juga terpaksa menyiapkan kertas kerja itu dalam keadaan terburu-buru.

“Saya diminta oleh pihak pengurusan untuk mempercepatkan permohonan itu.

"Kalau tengok, terdapat beberapa mesyuarat dalam masa terdekat. Kalau 'miss' meeting go for next one (kalau terlepas satu mesyuarat, pergilah ke mesyuarat yang berikutnya). Tapi di sini, tergesa-gesa untuk setiap mesyuarat. Terdapat banyak tekanan untuk percepatkan benda ni semua," katanya pada hari ke-13 perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Amirul Imran, saksi ke-29 pendakwaan, berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff mengenai sebab terdapat banyak kesilapan tarikh pada kertas kerja yang disediakan saksi itu dan punca beliau tergesa-gesa.

Amirul Imran, yang kini berkhidmat di SME Bank, pada mulanya dilihat menjawab soalan secara terburu-buru dengan mencampurkan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sehingga kurang difahami menyebabkan Ishak menegur serta meminta saksi itu menyusun ayatnya dengan betul.

Terdahulu, ketika membacakan pernyataan saksi, Amirul Imran berkata terdapat pelanggaran peraturan di bawah Perenggan 5 Polisi dan Garis Panduan KWAP bagi kelulusan pinjaman pertama berjumlah RM2 bilion oleh KWAP kepada SRC.

Beliau berkata ini kerana pinjaman kepada SRC telah melebihi had ekuiti pemegang saham iaitu SRC hanya memiliki ekuiti sebanyak RM1 juta tetapi permohonan pinjaman-pinjaman yang diluluskan berjumlah RM4 bilion.

Artikel Berkaitan:

“Terdapat juga pelanggaran peraturan di bawah Perenggan 2 Polisi dan Garis Panduan KWAP di mana jumlah pelaburan KWAP dalam bentuk pinjaman tidak boleh melebihi 10 peratus peruntukan pelaburan dalam pendapatan tetap domestik.

“Namun, bagi pinjaman kedua sebanyak RM2 bilion lagi kepada SRC, pengecualian ahli panel pelaburan tidak lagi diperlukan kerana polisi dan garis panduan KWAP tidak lagi memerlukan pengecualian sekiranya pinjaman bersandarkan jaminan kerajaan.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang berlangsung. - Bernama