'Jangan bimbang, LTAPP tak akan tutup'

Guan Eng (tengah) hadir ke mahkamah bagi urusan kes fitnahnya oleh bekas Pengerusi BN, Teng Chang Yeow pagi tadi.
Guan Eng (tengah) hadir ke mahkamah bagi urusan kes fitnahnya oleh bekas Pengerusi BN, Teng Chang Yeow pagi tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang tidak perlu bimbang Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) akan ditutup selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dibina.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Pulau Pinang tidak perlu terlalu memikirkan perkara itu kerana Putrajaya sedang mempertimbangkan untuk memperbesarkan LTAPP kepada kapasiti maksimum 20 juta penumpang.

Menurutnya, cadangan asal untuk memperbesarkan lapangan terbang itu dari 6.5 juta kepada 12 juta penumpang namun jumlah itu dilihat amat kecil.

"Pulau Pinang tidak perlu bimbang dengan pembinaan KXP kerana ia tidak akan menyebabkan LTAPP tutup. Ini kerana, kerajaan Pusat sedang mempertimbangkan untuk memperbesarkannya bagi menampung 20 juta penumpang sehingga tahun 2035.

"Sebaik sahaja LTAPP diperbesarkan, kerajaan Pusat tidak akan membiarkannya ditutup. Amat mustahil untuk LTAPP ditutup. Oleh demikian, jangan terlalu memikirkan perkara itu," katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Georgetown, di sini.

Guan Eng berkata, kerajaan Pusat amat memahami kebimbangan kerajaan negeri terhadap impak pembinaan KXP di Kedah itu.

"Ini adalah keputusan untuk negeri Kedah. Maka kita kena menghormatinya. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kerajaan Kedah merasakan KXP diperlukan untuk menarik Pelabur Lansung Asing (FDI) ke negeri itu.

"Saya harap KXP dan LTAPP akan saling melengkapi. Kebanyakan logistik dan rantaian bekalan berpusat di LTAPP. Oleh itu, LTAPP akan terus digunakan untuk tujuan itu manakala KXP akan berperanan bagi Kedah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Kementerian Kewangan tidak akan membantah dengan cadangan itu kerana ia tidak menggunakan dana awam.

"Kementerian tidak perlu menyediakan dana terhadap cadangan lapangan terbang Kulim kerana kementerian itu tidak perlu menyediakan dana untuknya. Ia menggunakan kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

"Selagi ia tidak menggunakan dana awam, kementerian tidak akan membantahnya malah keputusan Dr Mahathir mengenai KXP perlu dihormati," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Pulau Pinang masih menunggu mesyuarat khas antara Kerajaan Pulau Pinang, Kerajaan Kedah dan Kementerian Pengangkutan seperti yang diminta Dr Mahathir Februari lalu.

Kon Yeow berkata, Dr Mahathir meminta perbincangan itu dibuat selepas beliau membangkitkan isu itu dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri pada 26 Februari lalu.

"Selepas mesyuarat itu sehingga sekarang perbincangan atau mesyuarat berhubung perkara ini masih belum diadakan. Kerajaan negeri masih menunggu perbincangan di antara tiga pihak ini.

"Bagaimanapun, kita sudah menggunakan semua platform yang ada untuk membangkitkan keprihatinan kerajaan negeri. Jadi sekarang ini, kita serahkan kepada kerajaan Pusat dan kementerian berkenaan untuk menyusuli cadangan projek ini," katanya.