Kes saman fitnah Guan Eng selesai

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng melambai tangan semasa hadir di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini hari ini. - FOTO BERNAMA
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng melambai tangan semasa hadir di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini hari ini. - FOTO BERNAMA
A
A
A

GEORGETOWN - Kes saman fitnah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng terhadap bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow selesai selepas Teng setuju menarik balik kenyataan fitnah yang dibuatnya tahun lepas berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Peguam Simon Murali yang mewakili Lim memberitahu Mahkamah Tinggi sini bahawa kes saman itu selesai setelah satu persetujuan penghakiman dicapai antara kedua-dua belah pihak, yang mana Teng, selaku defendan dalam kes saman berkenaan menarik balik kenyataan yang dibuat pada tarikh 16 dan 18 Januari tahun lepas.

Simon berkata, pihak defendan secara rela hati dan tanpa syarat menarik balik penyataan-penyataan yang diadukan dibuat olehnya dalam sidang akhbar bertarikh 16 dan 18 Januari 2018 yang mana telah diterbitkan dalam akhbar New Straits Times dan Berita Harian pada 17 Januari dan dalam New Straits Times pada 19 Januari 2018.

"Plaintif dan defendan tidak akan mempunyai sebarang tuntutan di antara satu sama lain pada masa ini dan juga pada masa hadapan atau kausa tindakan kes ini," katanya di hadapan Hakim Datuk Rosilah Yop di sini hari ini.

Teng yang hadir sendiri bersama peguam bela Kek Boon Wei telah membacakan kenyataan tarik balik itu di dalam mahkamah di hadapan Hakim Rosilah dan juga Lim.

Kenyataan yang dibacakan Teng: "I hereby unconditionally and unreservedly retract the impugned statements that I made in the press conference convened on Jan 16 and 18, 2018 respectively which later published in New Straits Times on Jan 17, 2018 with the caption "Come clean on payments, Penang urged", in Berita Harian on Jan 17, 2018 with caption "Pulau Pinang sembunyi fakta bayaran" and in New Straits Times on Jan 19, 2018 with caption "Penang BN claims CM lied over 4 issues".

(“Saya dengan ini tanpa syarat dan benar-benar menarik balik kenyataan yang saya buat dalam sidang akhbar yang diadakan pada 16 dan 18 Jan, 2018 yang kemudiannya diterbitkan dalam New Straits Times pada 17 Jan 2018 dengan kapsyen "Come clean on payments, Penang urged", dalam Berita Harian pada 17 Jan 2018 dengan tajuk "Pulau Pinang sembunyi fakta bayaran" dan dalam New Straits Times pada 19 Jan 2018 dengan kapsyen "Penang BN claims CM lied over 4 issues".)

"I regret the hardship and difficulties caused to YB Tuan Lim Guan Eng due to the publication of the above."

(Saya menyesali kesukaran yang dihadapi YB Tuan Lim Guan Eng kerana penerbitan yang dinyatakan di atas.”)

Artikel Berkaitan:

Selepas kenyataan itu dibacakan, Lim yang turut hadir ke mahkamah telah memberitahu Hakim Rosilah bahawa beliau bersetuju dengan kenyataan tarikan yang dibacakan oleh Teng.

Pada 13 Mac 2018, Lim telah mengemukakan saman ke atas Teng sebagai defendan kes.

Dalam tuntutannya, Lim mendakwa Teng membenarkan dan atau menyebabkan kenyataan palsu ditulis dan diterbitkan di dua akhbar atau di laman web. - Bernama