Perodua kekal momentum jualan

A
A

MOMENTUM jualan Perodua untuk empat bulan pertama tahun 2019 kekal kukuh dengan peningkatan 9.5 peratus kepada 82,700 unit dari Januari hingga akhir April, berbanding dengan 75,500 unit yang didaftarkan dalam tempoh sama tahun 2018.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, ini merupakan pencapaian jualan terbaik bagi empat bulan pertama dalam sejarah Perodua. Angka jualan dalaman menunjukkan sokongan padu yang berterusan terhadap syarikat.

“Kami bersama-sama dengan ekosistem automotif negara yang kebanyakannya terdiri daripada pembekal dan pengedar sah, berterima kasih atas pengiktirafan ini. “Sementara Perodua menantikan angka rasmi jumlah keseluruhan industri (TIV) daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA), kami percaya pegangan pasaran Perodua melebihi 43 peratus bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada ekonomi domestik secara keseluruhan,” katanya.

Tambah Zainal Abidin lagi, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, Perodua telah membelanjakan RM1.8 bilion untuk membeli komponen daripada pembekal automotif tempatan dan optimis dapat memenuhi komitmen syarikat untuk membeli RM5.4 bilion komponen pada tahun ini.

Perodua akan terus berusaha memenuhi komitmennya untuk membeli daripada pembekal komponen automotif domestik pada tahun-tahun yang akan datang, walaupun menghadapi keadaan pasaran yang mencabar.

“Walaupun terlalu awal untuk menetapkan sasaran selepas 2019, kami yakin Perodua akan terus berkembang pada tahun 2020, seterusnya memberi manfaat kepada pembekal dan pengedar tempatan,” katanya.

Model Perodua, yang kesemuanya mempunyai lebih daripada 90 peratus kandungan tempatan, menyaksikan angka pendaftaran yang tinggi pada bulan April dengan jualan lebih 7,700 Myvi, 5,900 Axia, 4,200 Bezza dan 1,100 Alza.