Iriz dan Persona 2019

Dua model baharu Proton ini dilancarkan serentak dan sedia menerima tempahan

A
A
A

PROTON Holdings Bhd melancarkan dua model baharu iaitu Proton Iriz dan Persona 2019, yang mana sebelum ini pernah membuat penampilan sulungnya di Pameran Auto Malaysia di MAEPS, Serdang, baru-baru ini.

Proton mengumumkan harga atas jalan (OTR) model baharu Iriz bermula pada RM36,700 manakala OTR bagi unit 2019 Persona bermula RM42,600.


Iriz 2019 tampil baharu bersama bampar hadapan dan gril yang direka lebih menarik.
Iriz 2019 tampil baharu bersama bampar hadapan dan gril yang direka lebih menarik.

Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, model hatchback dan sedan keluarga segmen-B Proton itu ditambah baik secara menyeluruh membabitkan lebih 300 bahagian serta pengenalan ciri-ciri pintar pertama dalam kelasnya.


Lima warna ditawarkan termasuk Jet Grey, Snow White, Ruby Red, Rosewood Maroon dan Armour Silver.
Lima warna ditawarkan termasuk Jet Grey, Snow White, Ruby Red, Rosewood Maroon dan Armour Silver.

“Teknologi pintar yang diterapkan dalam Iriz dan Persona 2019 ini adalah usaha Proton membawakan kereta pintar pada harga mampu milik di pasaran yang bukan hanya memiliki teknologi tinggi tetapi juga keseronokan dalam pemanduan. “Selepas rekod pencapaian X70 pada awal tahun, kami mengharapkan Iriz dan Persona menjadi satu lagi pemangkin melonjakkan jualan untuk mencapai pelan pemulihan syarikat,” katanya pada majlis pelancaran model itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) Selasa lalu.

Reka bentuk baharu

Untuk membezakannya daripada model terdahulu, kumpulan Reka Bentuk Proton telah memberikan kelainan yang komprehensif pada reka bentuk luar dua model ini. Perubahan paling ketara boleh dilihat menerusi model Iriz. Ia dilengkapi dengan gambaran baharu syarikat iaitu gril hadapan Ethereal Bow yang mula diperkenalkan pada model Proton X70.

Artikel Berkaitan:

Iriz 2019 hadir dengan lima varian iaitu Standard 1.3L MT, Standard 1.3L CVT, Executive 1.3L CVT, Executive 1.6L CVT dan Premium 1.6L CVT. Varian tertinggi Premium 1.6L CVT ditawarkan pada harga RM50,700. Reka bentuk pada Proton Persona 2019 tidak begitu ketara, tetapi menampilkan corak Ethereal Bow dan Infinite Weave yang menjadi trademark baharu Proton.

Turut dipadankan pada model sedan keluarga ini adalah spoiler baharu pada but, reka bentuk bampar hadapan dan belakang baharu serta reka bentuk roda aloi yang lebih menarik tetapi tidak menjejaskan ciri-ciri praktikal yang menjadi kegemaran dalam kalangan pembeli kereta Malaysia.

Ciri-ciri pintar

Kedua-dua model boleh didapati dalam varian Premium 1.6AT. Ia menggunakan kad eSIM yang membolehkan pengguna untuk kekal bersambung ke internet. Sistem tersebut turut menawarkan aplikasi penstriman muzik, navigasi dalam talian dan pengecaman suara yang boleh diakses melalui skrin sentuh 7-inci dengan paparan warna penuh serta memori dalaman 16GB.

Untuk kemudahan tambahan, sistem ini juga mempunyai kemampuan pencerminan bagi telefon pintar Android. Sama seperti SUV pertama Proton iaitu Proton X70, aplikasi pengecaman suara diaktifkan melalui kata kunci Hi Proton! Pengguna kemudiannya, boleh mengakses pelbagai pilihan yang ada menggunakan arahan suara ini. Ini membolehkan pemandu kekal fokus memandang ke arah jalan raya sambil membuat carian kompleks untuk ke mana-mana destinasi atau memilih lagu.

Sistem ini juga akan menerima kemas kini Over The Air (OTA) secara berkala apabila terdapat aplikasi-aplikasi baharu.