Azlina komited lahirkan lebih ramai usahawan francais menerusi PNS

A
A
A
PERBADANAN Nasional Berhad (PNS) sebelum ini dikenali sebagai Pernas, menjadi penggerak utama dalam meningkatkan ekonomi usahawan Melayu terutama dalam bidang francais.

PNS mempunyai sasaran untuk menerajui perkembangan industri francais di Malaysia dan membangunkan usahawan francais melalui kepakaran dalam memberikan perkhidmatan serta produk-produk yang berkualiti.

Ketua Pegawai Operasi PNS, Azlina Juliani Abd Jalil berkata, PNS yang ditubuhkan pada November 1969 mempunyai peranan besar dalam mempelopori dan menerajui pertumbuhan industri francais negara demi merealisasikan matlamat melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang perniagaan francais.

"Seiring revolusi dan perkembangan teknologi terkini, PNS berubah mengikut peredaran zaman dengan memfokuskan pembangunan francais ke arah ekonomi digital dan mengekalkan tumpuan mempercepatkan perniagaan francais,” katanya.

Azlina berkata, PNS akan melaksanakan beberapa strategi baharu dan meletakkan kedudukannya selaras dengan pertumbuhan industri francais dalam negara dan di peringkat global.

Azlina, 48, yang telah bersama PNS lebih sedekad mempunyai visi dan misi yang jelas untuk meletakkan PNS kekal sebagai peneraju pembangunan industri francais Malaysia.

Selaku ketua pegawai operasi, Azlina sentiasa fokus dan komited melaksanakan setiap agenda yang telah dirangka oleh PNS.

PNS terus memperkasakan industri francais

Menurut Azlina, masyarakat sering keliru peranan PNS berbanding agensi lain. Oleh itu, katanya, PNS akan dijenamakan semula peranannya sebagai pemain utama industri francais di negara ini.
Artikel Berkaitan:


"Sempena sambutan 50 tahun pada tahun ini, PNS akan lebih agresif membantu perkembangan perniagaan francais menerusi pembangunan francais dengan membawa lebih banyak francaisor ke dalam negara yang diharap dapat memberikan impak besar kepada ekonomi,” katanya ketika sesi temu bual bersama Sinar Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dengan peruntukan sebanyak RM110 juta pada tahun ini, katanya, PNS berhasrat membawa masuk sekurang-kurangnya lima francaisor induk ke Malaysia sebagai sebahagian daripada sasarannya menjana RM35 bilion sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2020.

"Ini akan meningkatkan sumbangan kepada KDNK negara dari 3.4 peratus atau RM27.7 bilion pada 2017.

"Kami juga akan menerokai beberapa segmen baharu terutamanya kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mempunyai potensi francais, sekali gus memberikan manfaat dalam melahirkan lebih ramai usahawan dan peluang pekerjaan," katanya.

Beliau berkata, PNS melihat kepakaran dimiliki setengah GLC itu perlu dikembangkan untuk memberikan manfaat kepada masyarakat.

"Setakat ini, PNS mempunyai tiga jenama di bawah anak syarikat PNS antaranya Abdul Samad Al-Qurashi (ASQ), Gloria Jean’s Coffee (GJC) dan 1901 iaitu yang diuruskan dengan memperkenalkan perkhidmatan francais," katanya.

Bangunkan aplikasi

Seiring dengan perkembangan teknologi terkini, PNS turut membantu usahawan dalam kalangan francaisor dan francaisi yang tidak mempunyai kekuatan kewangan dalam meningkatkan jualan menerusi platform atas talian menggunakan sistem aplikasi dan laman web.

"Aplikasi ini akan menghubungkan francaisi dengan pelanggan dan akan dilancarkan pada November depan. Bahagian e-Francais akan membangunkan sistem ini agar lebih sistematik dan efisien untuk memberikan kemudahan kepada pelanggan,” katanya.

Tambahnya, perancangan tersebut adalah fasa pertama yang akan memfokuskan hubungan usahawan dengan pelanggan dan pengguna, sekali gus meningkatkan jualan.

"Sementara bagi fasa kedua pula, 'digital connectivity' kepada penyedia dan pembekal logistik yang terlibat dalam industri ini yang akan dilaksanakan pada 2020. Kami sudah mempunyai rantaian pembekalan dalam industri ini tetapi tidak mempunyai platform digital sahaja,” katanya.

Perkembangan industri francais

Azlina berkata, PNS mendapati peningkatan sumbangan francais kepada ekonomi negara pada 2009 iaitu RM10 bilion, diikuti pada 2018 sebanyak RM30.3 bilion dan dijangkakan pada 2020 adalah RM35 bilion.

"Industri francais menunjukkan perkembangan positif, dijangka menyumbang sebanyak RM35 bilion kepada KDNK menjelang 2020," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, 66 syarikat francais tempatan telah berjaya menempatkan diri di 65 negara.

"Dalam tempoh dua tahun akan datang, 80 syarikat tempatan disasarkan menembusi pasaran antarabangsa dan Industri francais dilihat sebagai trendsetter pada masa kini," katanya.

Beliau turut memberitahu, setakat ini sebanyak 877 syarikat francais telah didaftarkan, sementara jumlah pembiayaan yang telah diberikan adalah RM269.5 juta dan lebih 1,000 usahawan francais telah menerima manfaat daripada bantuan tersebut.

Pelbagai inisiatif

PNS terus memperkasakan industri francais dengan menganjurkan pelbagai program antaranya Franchise International Malaysia (FIM) anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Persatuan Francais Malaysia.

"FIM adalah platform PNS mempromosikan peranan, produk dan perkhidmatan dengan memberikan pendedahan kepada usahawan melalui maklumat dan khidmat nasihat selain membuka peluang kepada usahawan berpotensi untuk mengembangkan perniagaan mereka melalui jaringan kerjasama strategik antara PNS dengan usahawan-usahawan francais sedia ada.

"PNS juga memberi peluang kepada mereka yang berpotensi untuk melabur dan bekerjasama dengan kami dalam membangun dan mengembangkan perniagaan mereka. Pada FIM 2019 yang dianjurkan baru-baru ini, PNS menyasarkan pembiayaan sebanyak RM5 juta dalam membantu dan melahirkan usahawan-usahawan baru di dalam industri francais," katanya.

Beliau berkata, bagi pengunjung atau usahawan yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai perniagaan francais, Institut Francais menyediakan kursus dan latihan bagi mendalami bidang ini.

"PNS juga turut mengadakan sesi konsultasi bagi memberikan informasi mengenai bidang francais," katanya.

Fokus lima tahun

PNS mengunjurkan untuk memperoleh pendapatan RM673 juta dan akan mewujudkan 1,000 usahawan baharu serta menyediakan 4,000 peluang pekerjaan.

"Ia akan memberikan pulangan berjumlah RM1 bilion kepada KDNK. PNS juga akan memberikan latihan kepada 10,000 peserta untuk meningkatkan kemahiran mereka selain PNS menyasarkan untuk meningkatkan dana daripada RM1.38 bilion tahun ini kepada RM1.49 bilion pada 2023,” katanya.

Azlina memberitahu, PNS akan terus menggalakkan aktiviti perniagaan yang dapat memenuhi keperluan pasaran.