Westlite peneraju asrama transit berpusat

A
A

MENYEDIHKAN dan tidak terurus! Itu antara kata-kata yang biasa kedengaran apabila memikirkan keadaan kediaman kebanyakan pekerja asing di Malaysia, lebih- lebih lagi pekerja asing yang bekerja di sektor pembinaan.

Kebiasaannya, pekerja asing itu ditempatkan di rumah sementara berhampiran dengan tapak pembinaan. Namun, suasana kediaman yang disediakan amat daif dengan ruang sempit sehinggakan pekerja asing itu terpaksa tinggal berhimpit-himpit.

Struktur binaan penempatan yang dikenali sebagai rumah kongsi itu diperbuat daripada papan dan kayu terpakai dan beratapkan zink dari kawasan pembinaan. Lokasinya yang terletak dengan tapak pembinaan juga mengundang bahaya dan menyebabkan timbul isu keselamatan.

Selain itu, kewujudan rumah-rumah kongsi menyebabkan masalah lain iaitu masalah kebersihan dan kesihatan memandangkan situasi rumah kongsi yang kotor dan berbau yang mengundang ketidakselesaan penduduk sekitar.

Bagaimanapun, sebuah syarikat dari Singapura mengubah penempatan untuk pekerja asing di Malaysia.

Tiada lagi pekerja asing tinggal di asrama yang diubah suai, sebaliknya majikan kini boleh menempatkan mereka di asrama yang jauh lebih baik dan selesa.

Baru-baru ini, Centurion Corporation Ltd membuka Kediaman Transit Berpusat (Centralised Accomodation Transit atau CAT) yang pertama di Pulau Pinang dan yang ketujuh di Malaysia.

Enam lagi terletak di kawasan pembangunan perindustrian di Johor iaitu Taman Teknologi Westlite Johor, Westlite Pasir Gudang, Westlite Senai, Westlite Senai II, Westlite Tampoi dan Westlite Tebrau.

Terokai pasaran Malaysia

Menurut Pengarah Urusan Perniagaan Kediaman Centurion Corporation Limited, Tony Bin, kehadiran Centurion di Malaysia berikutan lokasi yang berhampiran dan persamaan antara kedua-dua negara.

Selain itu, pertumbuhan Malaysia sebagai sebuah negara industri perkilangan adalah sebab lain untuk Centurion berkembang di negara ini.

"Selepas kita bermula di Johor, kita mengenal pasti Pulau Pinang sebagai kawasan utama yang boleh berkembang kerana dinamik dan pasaran Pulau Pinang adalah sama seperti di Johor. Malah, kami telah melakukan kajian untuk tanah di Pulau Pinang sejak 2013," katanya.

Beliau berkata, banyak lagi kawasan di Pulau Pinang yang akan dilihat sekiranya bersesuaian termasuk bandar-bandar perindustrian dan hub perindustrian di semenanjung Malaysia.

Tambah Tony, majikan bertanggungjawab menyediakan kemudahan penginapan yang selesa kepada pekerja.

“Salah satu masalah yang dihadapi apabila majikan membandingkan kos penginapan tanpa melihat kemudahan yang disediakan kepada pekerja mereka.

"Mereka tidak melihat manfaat yang disediakan oleh Westlite untuk pekerja mereka.

“Daripada menyewa sepuluh kedai di sepuluh lokasi yang berbeza dan mengambil mereka untuk bekerja adalah lebih baik menyewa di satu lokasi sahaja. Itu lebih mudah,” katanya.

Beliau berkata, selepas waktu bekerja, pekerja yang ditempatkan di CAT boleh melakukan pelbagai aktiviti melalui pelbagai prasarana yang disediakan.

"Kami berharap mereka dapat melihat apa yang telah kami lakukan di Johor. Kami juga berharap usaha menyediakan penginapan terbaik untuk pekerja asing lebih diketahui ramai,” katanya.

Beliau percaya dengan menyediakan penginapan yang selesa kepada pekerja, mereka akan memberikan sumbangan yang lebih baik kepada majikan.

"Matlamat kami adalah untuk menyediakan penginapan yang melebihi sekadar katil dan dinding. Kami berusaha untuk menyediakan pekerja kemudahan yang selesa untuk membolehkan mereka hidup dan berehat sebagai komuniti di dalam kompleks kami," katanya.

Beliau berkata, pengasingan akan dilakukan sekiranya terdapat permintaan terhadap pekerja asing wanita di asrama tersebut

"Kalau ada wanita yang tinggal, kita akan melakukan pengasingan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

“Walau bagaimanapun, ini bergantung kepada jumlah dan skala tertentu,” katanya.

Kemudahan serba lengkap

Centurion membuka pintu pembangunan pertamanya di Pulau Pinang iaitu Westlite Bukit Minyak yang dibangunkan dengan kerjasama kerajaan negeri.

Terletak di lokasi strategik berhampiran lebuh raya utama Bukit Minyak, pembukaan Westlite Bukit Minyak akan meningkatkan persekitaran dan kualiti kehidupan dengan menyediakan pembangunan infrastruktur yang luar biasa dan mudah diakses.

Lokasi strategiknya di sebelah lebuh raya utama menyediakan akses mudah ke Taman Perindustrian Bukit Minyak, Taman Sains, serta Taman Industri Batu Kawan.

Westlite Bukit Minyak dibina dengan kos RM72.3 juta, mempunyai 366 unit apartment dengan jumlah 6,600 buah katil.

Asrama pekerja itu terdiri daripada tiga blok rumah pangsa 11 tingkat yang dilengkapi pelbagai kemudahan seperti lif, gimnasium, ruang rekreasi dalaman, astaka makanan, pasar raya, kedai telefon bimbit, kemudahan internet, bilik solat, gelanggang futsal, gelanggang bola tampar dan gelanggang badminton.

Tiap-tiap unit rumah pangsa yang dijadikan asrama pekerja di sini terdiri daripada empat bilik, empat katil untuk setiap bilik serta loker untuk menyimpan pakaian dan barangan.

Turut tersedia ruang dapur serta dua buah bilik air dan purata sewa katil bulanan di asrama itu adalah kira-kira RM130 yang ditanggung oleh majikan masing-masing.

Menurut Tony, pihaknya menjangkakan kadar penghunian melebihi 90 peratus apabila dibuka.

“Kami mendapati kadar penghunian melebihi 90 peratus di hartanah kami di Johor, jadi kami jangkakan penghunian yang sama di Pulau Pinang.

“Selepas bulan Februari ini, pihak kami menjangkakan daya huni di Westlite Bukit Minyak mungkin mencapai jumlah sama di Johor,” katanya.

Centurion kini mengendalikan 30 buah asrama dengan lebih daripada 61,000 katil di Singapura, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Ia mempunyai lebih daripada 30,300 katil di Malaysia termasuk yang terbaru di Pulau Pinang.

Lonjak ekonomi Pulau Pinang

Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memuji Centurion yang bertindak sebagai perintis pembangunan CAT di negeri itu.

"Saya percaya projek ini dapat memberi inspirasi kepada negara seperti yang digariskan dalam visi Penang 2030," kata Kon Yeow.

Tambahnya lagi, projek itu dapat membantu menangani isu-isu tertentu mengenai pekerja asing di Pulau Pinang.

"Kadang-kadang, kami menerima aduan daripada penduduk yang tetangganya adalah pekerja asing.

"Kebanyakan mereka mengeluh bahawa pekerja terlibat dalam tabiat sosial seperti minum dan mandi di luar penginapan mereka yang disewa.

"Itulah sebabnya kami menawarkan penyelesaian ini. Asrama itu juga dilengkapi dengan kemudahan yang diperlukan," kata beliau.

Beliau berkata, kerajaan negeri merancang untuk membina tujuh buah CAT bagi pekerja asing dalam usaha menyelesaikan isu kehadiran warga asing yang ramai tinggal di kawasan penduduk negeri ini.

Tujuh projek itu membabitkan pembinaan dua buah CAT di bahagian pulau dan lima buah di tanah besar membabitkan tanah milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

“Enam daripada tujuh projek yang kerajaan negeri rancang itu telah pun diluluskan, manakala satu lagi masih dalam kajian dan pemantauan lanjut.

“Ini semua adalah usaha bagi menyelesaikan masalah sosial dan jenayah yang berlaku akibat kebanjiran warga asing dalam kejiranan penduduk tempatan dan CAT itu juga bagi mengawal isu sosial dan keselamatan golongan itu di Pulau Pinang," katanya yang hadir melancarkan CAT pertama di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Desa dan Perancangan Negeri Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Afif Bahardin serta Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia