Bina reban terapung elak ayam mati

Abu Bakar mememeriksa keadaan reban terapung yang terletak bersebelahan rumahnya di Kampung Tebak.
Abu Bakar mememeriksa keadaan reban terapung yang terletak bersebelahan rumahnya di Kampung Tebak.
A
A
A
KEMAMAN - Seorang warga emas kreatif mencipta reban terapung bagi mengelakkan ayam denak ternakannya yang dianggarkan bernilai RM18,000 mati dihanyutkan arus banjir.

Abu Bakar Che Ahmad, 64, dari Kampung Tebak, di sini, mengeluarkan belanja sebanyak RM520 untuk membina reban rakit itu yang memuatkan sebanyak 60 ekor ayam denak dan 11 ekor kucing peliharaannya.

Katanya, penat lelahnya menyiapkan reban terapung itu menggunakan empat biji tong dram itu berbaloi apabila kesemua haiwan peliharaannya itu selamat biarpun kawasan rumahnya ditenggelami banjir sejak kelmarin.

Abu Bakar dan isterinya, Fatimah masih tinggal di rumah mereka yang ditenggelami banjir sedalam kira-kira 1.5 meter petang semalam untuk menjaga keselamatan haiwan ternakan mereka.
Abu Bakar dan isterinya, Fatimah masih tinggal di rumah mereka yang ditenggelami banjir sedalam kira-kira 1.5 meter petang semalam untuk menjaga keselamatan haiwan ternakan mereka.



"Walaupun paras air sangat dalam tapi pakcik syukur sebab ayam denak dan kucing selamat.

"Kalau tak dibina reban ni, memang pakcik akan tanggung rugi besar sebab harga seekor ayam denak boleh cecah RM300 seekor, memang mahal," katanya yang tinggal berdua di rumah dua tingkatnya.

Rumah mangsa ditenggelami paras banjir sedalam kira-kira 1.5 meter ketika tinjuan Sinar Harian di kampung itu petang semalam.

Reban terapung ini dibina menggunakan empat tong dram.
Reban terapung ini dibina menggunakan empat tong dram.



Bagi memastikan rumahnya selamat dan tidak dimasuki pencuri, bekas pemandu lori itu bersama isterinya, Fatimah Salleh, 58, masih kekal berada di rumah dan tidak berpindah.

Artikel Berkaitan:


Pasangan itu tinggal di tingkat atas rumah berkenaan dan mempunyai sebuah bot gentian kaca dan enjin sangkut untuk bergerak keluar dari rumah mereka.

Abu Bakar yang juga bapa tujuh anak berkata, situasi arus banjir yang tidak deras membuatkannya dan isteri bertahan di rumah dan boleh menjaga keselamatan binatang ternakan dan harta benda di dalam rumah mereka termasuk mesin tebu.

"Dah 4 tahun pakcik duduk di rumah ni jadi dah biasa hadapi banjir dan sebab itu pakcik siap beli bot dengan harga RM1,100 empat tahun lalu. Bila ada di rumah boleh pantau reban ayam sekali," katanya lagi.

Sebanyak 60 ekor ayam denak dan 11 ekor kucing Abu Bakar selamat di dalam reban terapung.
Sebanyak 60 ekor ayam denak dan 11 ekor kucing Abu Bakar selamat di dalam reban terapung.



Tambahnya, ayam denak merupakan ayam pemikat untuk menjinakkan ayam hutan dan disebabkan itu harga mahal.

"Pembeli ayam ini datang dari seluruh negara, ada dari Kota Bharu, Kelantan dan Segamat Johor," katanya.

Katanya, rumahnya mula dinaiki air kira-kira jam 7 petang kelmarin dan hanya dalam tempoh setengah jam paras air sudah menenggelamkan hampir keseluruhan rumah tingkat bawahnya itu.