Bukan soal tak tahu buat kerja: Mahfuz

Mahfuz (tengah) menyerahkan sumbangan mesin pemotong rumput kepada penerima Dun Bukit Lada.
Mahfuz (tengah) menyerahkan sumbangan mesin pemotong rumput kepada penerima Dun Bukit Lada.
A
A
A
ALOR SETAR - Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar menyangkal dakwaan menteri dan timbalan menteri kerajaan baharu tidak tahu buat kerja apabila beberapa kenyataan dilihat bersifat pusingan U.

Beliau sebaliknya mengakui sebahagian besar kalangan wakil rakyat PH tiada pengalaman mentadbir.

Menurutnya, memandangkan mereka masih baharu dalam kerjaya masing-masing, semua harus berlapang dada dan tidak perlu malu apabila diminta menghadiri kursus, Ahad lalu.

“Rakyat harus faham kebanyakan menteri Kabinet agak baharu dalam bidang tugas mereka, terutama pelaksanaan dasar dan polisi kerajaan. Orang mungkin melihat seolah kenyataan atau pendirian seperti pusingan U, bagi saya ia keterbukaan menteri untuk terima pandangan,” katanya.

Mahfuz berkata, walaupun bukan semua permintaan atau pandangan rakyat dapat dipenuhi, namun ada beberapa isu rasional untuk kerajaan menarik balik keputusan awal untuk kajian semula, antaranya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Selepas menang PRU14, mereka yang dilantik masuk pejabat dan terus bekerja tanpa ada pengetahuan berkaitan. Kursus untuk fahami dasar, polisi atau cara berdepan dengan media suatu keperluan, selain untuk tahu skop kerja dan tanggung jawab sebagai kerajaan. Kami terbuka, ia bukan sesuatu yang pelik,” katanya.

Menurutnya, ia antara usaha penambahbaikan kerajaan PH untuk melengkapkan pengetahuan dan tatacara kerja kalangan menteri Kabinetnya.

“Bukan soal tak tahu buat kerja, kami masih belajar buat kerja,” katanya.

Mahfuz berkata, program dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu memberi peluang barisan menteri Kabinet perkukuhkan bidang kerjaya baharu.
Artikel Berkaitan:


“Jika ada pandang sinis, tak kan Menteri pun kena hadir kursus, ya kenapa tidak? Semua ini demi masa depan kerajaan PH untuk lebih berperanan di Kementerian masing-masing,” katanya.

Ditanya sama ada lantikan menteri/timbalan sekadar tangkap muat bagi penuhi kuota setiap parti sehingga ada dilihat tidak layak, katanya, lantikan merupakan hak prerogatif Perdana Menteri.

“Ada nama yang diangkat parti, ditolak. Nama dicalonkan parti tak semestinya Perdana Menteri setuju. Jika Dr Mahathir mahu lakukan rombakan Kabinet dalam masa terdekat, itu hak beliau sebab jawatan ini bukan untuk selamanya,” katanya.

Mahfuz berkata, beliau juga harus bersedia sekiranya berlaku pertukaran kerana kedudukan menteri Kabinet tertakluk pada prerogatif Perdana Menteri.

“Saya pun harus bersedia, jawatan ni bukan milik saya selamanya. Jika saya tidak kompeten dalam tugas, harus diganti. Jika berlaku rombakan, kita harus terima,” katanya.