Pilih pelaburan saham patuh syariah

A
A
A
BILA sebut mengenai pelaburan, ramai yang teruja. Maklumlah, topik pelaburan memang topik yang menjadi sering perbualan hangat sejak kebelakangan ini.

Itu menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia semakin celik mengenai betapa pentingnya pelaburan dalam kehidupan. Tapi awas, ramai yang teruja dengan skim-skim pelaburan yang ada sehingga lupa untuk mencari skim pelaburan yang halal dan patuh syariah.

Firman ALLAH SWT dalam surah al-Baqarah ayat 278: "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada ALLAH dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah bahwa ALLAH dan rasul-NYA akan memerangimu."

Merujuk kepada firman ALLAH ini, jelas menunjukkan beratnya ancaman daripada ALLAH berkenaan riba. Justeru, sebagai Muslim, adalah wajib mencari pelaburan yang patuh syariah dan meninggalkan riba demi mencari keberkatan.

Pelaburan patuh syariah

Apabila sebut mengenai pelaburan, selain daripada Amanah Saham Bumiputera (ASB), Tabung Haji (TH) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), terdapat pelaburan unit amanah, saham, Exchanged Traded Funds (ETF), Real Estate Investment Trust (REIT), sukuk dan banyak lagi.

Jika dilihat kepada ASB, TH, dan KWSP, kebanyakan dana agensi-agensi ini dilaburkan ke dalam pelaburan saham. Begitu juga dengan unit amanah, ETF dan REIT, hampir kesemuanya melabur di Bursa Malaysia bagi memastikan pulangan yang ditawarkan adalah kompetitif.

Jadi sebelum bermula, perlu faham terlebih dulu apa yang dimaksudkan dengan pelaburan patuh syariah.

Muslim di Malaysia sangat bertuah kerana mempunyai Majlis Penasihat Syariah (MPS) di Suruhanjaya Sekuriti, yang telah diberi mandat untuk membuat penyaringan saham-saham yang tersenarai di pasaran saham.
Artikel Berkaitan:


Senarai saham patuh syariah diterbitkan kepada orang ramai dua kali setahun iaitu pada akhir Mei dan November.

Kriteria syariah yang telah digariskan oleh MPS bagi sektor ekuiti akan melalui tiga peringkat penyaringan iaitu:

Tahap 1: Pemeriksaan aktiviti perniagaan syarikat

Penanda aras lima peratus:

* Digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yang jelas keharamannya atau tidak selaras dengan syariah seperti perniagaan yang disenaraikan di bawah ini. Peratus sumbangan aktiviti tidak patuh syariah haruslah kurang daripada lima peratus pendapatan kumpulan atau keuntungan kumpulan sebelum cukai syarikat:

. Perbankan konvensional

. Insurans konvensional

. Perjudian

. Minuman keras dan segala aktiviti berkaitan dengannya

. Daging khinzir dan segala aktiviti berkaitan dengannya

. Makanan dan minuman yang tidak halal

. Aktiviti hiburan yang tidak patuh syariah

. Tembakau dan segala aktiviti berkaitan dengannya

. Pendapatan yang dijana hasil daripada kadar faedah dan bunga

. Segala jenis aktiviti perniagaan berkaitan yang tidak mematuhi prinsip syariah

Penanda aras 20 peratus:

* Bagi aktiviti perniagaan yang disenaraikan di bawah ini, peratus sumbangan aktiviti tidak patuh syariah haruslah kurang daripada 20 peratus pendapatan kumpulan atau keuntungan kumpulan sebelum cukai syarikat:

. Perdagangan saham

. Perniagaan berkaitan broker saham

. Hasil sewaan yang diterima daripada aktiviti yang tidak patuh syariah

. Lain-lain aktiviti perniagaan yang dilihat sebagai tidak menepati prinsip syariah

Tahap 2: Pemeriksaan pada nisbah kewangan syarikat

Bagi aspek nisbah kewangan syarikat MPS telah menetapkan supaya riba tidak melebihi 33 peratus:

1. Simpanan tunai berbanding jumlah aset keseluruhan: Jika syarikat mempunyai simpanan tunai di akaun bank konvensional dan juga di instrumen konvensional, nilai keseluruhannya mestilah kurang 33 peratus. Bagaimanapun, simpanan tunai di perbankan Islam dan instrumen yang patuh syariah dikecualikan kerana tidak mempunyai riba.

2. Nilai hutang berbanding jumlah aset keseluruhan: Jika syarikat berhutang dan dikenakan kadar faedah, nilai keseluruhannya mestilah kurang 33 peratus. Namun, pinjaman melalui perbankan Islam atau melalui sukuk dikecualikan.

Tahap 3: Pemeriksaan kualitatif

Selain daripada dua kriteria yang disenaraikan di atas, MPS turut mengambil kira pandangan masyarakat umum di mana syarikat mestilah menonjolkan imej syarikat yang baik dan segala aktiviti syarikat juga perlu mengambil kira perspektif ajaran Islam.

Setelah lulus ketiga-tiga tahap saringan ini, barulah saham syarikat tersebut patuh syariah. Dan kalau nak tahu, 76 peratus daripada syarikat yang disenaraikan di pasaran saham Malaysia adalah patuh syariah. Untuk mendapatkan senarai terkini saham-saham syarikat patuh syariah, boleh rujuk di laman web Suruhanjaya Sekuriti.

Apabila patuh syariah, barulah ASB, TH, KWSP, unit amanah, ETF dan REIT boleh melabur ke dalam saham-saham syarikat tersebut. Dan barulah kita sebagai Islam, boleh melabur tanpa ragu-ragu ke dalam ASB, Tabung Haji, KWSP, unit amanah, ETF dan REIT yang patuh syariah.