Memperincikan mitos Bandar Malaysia

A
A

JIKA anda mengikuti perkembangan politik negara sejak tiga tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Bandar Malaysia merupakan satu daripada projek yang dikambinghitamkan untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN).

Selain projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Bandar Malaysia adalah sebahagian mantera Pakatan Harapan bahawa BN telah melelong dan menggadaikan negara kepada China.

Bagi yang kurang jelas, Bandar Malaysia merupakan projek pembangunan baharu di atas tanah seluas 197 hektar di Sungai Besi. Tapak ini sebelumnya merupakan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuala Lumpur.

Pada permulaannya, anak syarikat Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc), 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah mengambil alih tanah ini dengan kos lebih RM3 bilion. RM400 juta dibayar tunai kepada kerajaan dan sebanyak RM2.7 bilion diperuntukkan 1MDB bagi pembinaan kem TUDM yang baharu di Sendayan, Negeri Sembilan dan pemindahan aset-aset sedia ada di Sungai Besi.

Bandar Malaysia dirancang sebagai pemangkin untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi dan pekerjaan, termasuk bagi KL Internet City yang baharu – hab utama Zon Perdagangan Bebas Digital yang pertama di dunia. Kawasan itu dijangka mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan baharu pada masa depan.

Bagi menjayakan agenda pembangunan ini, Bandar Malaysia direka letak sebagai pusat pengangkutan utama seluruh negara membabitkan Keretapi Laju Kuala Lumpur ke Singapura, laluan MRT, KTM Komuter, Airport Express Rail Link serta menghubungkan 12 lebuh raya lain dan pusat kewangan baharu Tun Razak Exchange (TRX).

Bertentangan dengan cerita politik, pembangunan Bandar Malaysia adalah melalui bidaan sebagai rakan pemaju untuk saham berjumlah 60 peratus manakala lebihan 40 peratus ekuiti lagi dipegang oleh kerajaan Malaysia.

Menurut konsultan hartanah CH Williams Talhar and Wong (WTW), sebanyak 12 syarikat telah menghantar cadangan untuk mengambil bahagian sebagai rakan pemaju bagi pembangunan Bandar Malaysia pada tarikh tutup bidaan, 28 Ogos 2015. PemajuKerajaan mengumumkan pemilihan konsortium IWH-CREC Sdn Bhd sebagai rakan pemaju Bandar Malaysia. Konsortium ini merupakan usaha sama syarikat Malaysia Iskandar Waterfront Holdings (IWH) yang mempunyai 60 peratus saham dan China Railway Engineering Corp (CREC) sebanyak 40 peratus.

Pemimpin PKR, Rafizi Ramli dengan pantas menyambutnya dalam catatan menjelang tahun baharu: “Tahun 2015 adalah tahun jualan lelong harta negara. Semalam, tanah-tanah yang dulunya Kem Tentera Udara Sungai Besi seluas 400 ekar di tengah-tengah Kuala Lumpur dijual lagi kepada konsortium yang dianggotai syarikat milik kerajaan China. Sebelum ini, aset strategik negara iaitu aset penjanaan elektrik juga dijual kepada syarikat milik kerajaan China. Lelongan seterusnya ialah projek kereta api laju KL-Singapura berharga RM47 bilion. Saya jangka juga akan dianugerahkan kepada syarikat milik kerajaan China. Terima kasih."

Pemimpin dari Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula mendakwa kerajaan telah menjual 60 peratus tanah Bandar Malaysia kepada syarikat dari China.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan ketika itu telah menafi dan memaklumkan bahawa “40 peratus daripada saham Bandar Malaysia masih dipegang kerajaan Malaysia. Daripada 60 peratus yang kita jual kepada IWH dan China Railways,

IWH memegang 36 peratus daripada jumlah 60 peratus tersebut. Ini bermakna jika 40 peratus dipegang Kementerian Kewangan dan 36 peratus IWH, maka jumlah pegangan kerajaan dan rakyat Malaysia adalah 76 peratus. Hanya 24 peratus dipegang China Railways.”

Sudah tentu penjelasan Rahman ketika itu tidak dianggap sebagai kebenaran dan mantera kerajaan jual tanah kepada China terus berlarutan sehingga PRU-14.

Kini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan konsortium IWH-CREC yang memenangi tender untuk membangunkan Bandar Malaysia sebenarnya ialah sebuah syarikat Malaysia.

“Kami (pada awalnya) beranggapan ia diberikan sepenuhnya kepada syarikat China. Apabila dilakukan siasatan, syarikat yang menjalankan kerja awal bagi Bandar Malaysia sebenarnya bukan syarikat China. Disebabkan itu, kami mengubah pendirian dan kami mahu mengembalikan semula Bandar Malaysia kepada syarikat yang pertama memenangi bidaan (IWH-CREC),” kata Dr Mahathir.

Demikianlah kebenaran memerlukan masa untuk muncul.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar)

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.