Kontrak sosial dan integrasi kaum

A
A
A
AKHIR-AKHIR ini, terdapat kelompok yang ingin merungkai semula kontrak sosial yang telah dipersetujui sejak kemerdekaan negara dahulu.

Kontrak Sosial diterjemahkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan Malaya 1957, kemudian diterjemahkan semula dalam Perlembagaan Malaysia 1963.

Sebenarnya Perlembagaan merupakan rujukan aspirasi dan pelan induk negara. Perlembagaan juga adalah kerangka asas yang terhasil daripada perjanjian dan permuafakatan antara etnik-etnik di Malaysia dalam pembentukan negara bangsa ini.

Apa yang merungsingkan ialah pertikaian ke atas kontrak sosial iaitu kedaulatan raja-raja Melayu, kedudukan agama Islam dan hak istimewa Melayu dan Bumiputera. Dalam konteks ini mana-mana pindaan ke atas kontrak sosial akan menyebabkan terbatalnya keseluruhan perjanjian kontrak sosial yang ditandatangani sewaktu kemerdekaan.

Perlu diingatkan, sewaktu Tunku Abdul Rahman berusaha mendapatkan kemerdekaan, beliau perlu mendapatkan persetujuan raja-raja Melayu untuk menyerahkan hak eksekutif negeri kepada kerajaan Pusat. Ini disebabkan dalam sistem pemerintahan Persekutuan, kerajaan Pusat mempunyai kuasa lebih dominan ke atas kuasa kerajaan negeri yang terletak di bawah kuasa raja.

Berikutan struktur kuasa Persekutuan, British telah memberikan beberapa syarat kepada Tunku untuk menyempurnakannya sebelum Tanah Melayu diberikan kemederkaan. Ini dikaitkan dengan sistem pemerintahan negeri-negeri di Tanah Melayu oleh British.

Bagi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, raja-raja Melayu mempunyai kuasa lebih dominan berbanding kuasa residen. Di Negeri-negeri Melayu Bersekutu, kuasa residen lebih dominan berbanding kuasa raja.

Implikasinya menyebabkan kuasa raja mempunyai dua dimensi yang berbeza apabila sistem residen digantikan dengan sistem menteri besar semasa proses untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu.

Permasalahan ini berjaya diselesaikan oleh Tunku dengan pertukaran kedaulatan raja-raja Melayu dan penerusan kesinambungan Majlis Raja-Raja Melayu yang ditubuhkan melalui Durbar pada 1897. Akibatnya kuasa-kuasa raja-raja Melayu diterjemahkan ke dalam Perlembagaan. Tanpa adanya persetujuan raja-raja Melayu, Tanah Melayu tidak mungkin merdeka seperti hari ini.
Artikel Berkaitan:


Begitu juga soal pertukaran kewarganegaraan dengan hak istimewa kaum pribumi dan kedudukan Islam. Ketika Tanah Melayu inginkan kemerdekaan, British telah menawarkan dua pilihan kepada rakyat bukan kaum pribumi atau imigran iaitu sama ada ingin menjadi warganegara British atau kembali kepada negara ibunda.

Tetapi pada masa tersebut, beberapa pemimpin bukan kaum Pribumi iaitu pemimpin Cina dan India telah merayu kepada British untuk menerima mereka sebagai sebahagian rakyat Tanah Melayu. Maka, British menyerahkan urusan ini kepada Tunku untuk menyelesaikannya sebagai prasyarat kemerdekaan.

Maka dalam rundingan itu, kedua-dua pihak iaitu kaum pribumi diwakili Tunku dan wakil-wakil raja Melayu dan kaum bukan pribumi diwakili Tun Tan Cheng Lock dan Tun VT Sambathan bersetuju untuk memeterai satu perjanjian persefahaman ke arah kemerdekaan Tanah Melayu. Perjanjian persefahaman kemerdekaan ini dilaksanakan dalam Rombongan Kemerdekaan menaiki kapal laut pada 1956.

Kemerdekaan Tanah Melayu atau Malaya berjaya direalisasikan kerana kemerdekaan negara ini diperoleh dengan perjanjian persefahaman atau kontrak sosial. Begitu juga pembentukan Malaysia melalui perjanjian bersama dengan Sabah, Sarawak dan Singapura yang dikenali sebagai Perjanjian 1963.

Perjanjian 1963 terbatal apabila Singapura keluar dari Malaysia. Terkeluarnya Singapura menyebabkan beberapa pindaan dilakukan ke atas Perjanjian 1963. Yang kekal ialah Perjanjian 20 Perkara yang melibatkan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dan bukannya Perjanjian 1963.

Persoalannya, bolehkah Perjanjian Kemerdekaan Tanah Melayu 1956 terbatal sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mempertikaikan sehingga isu itu dibawa ke Mahkamah United Kingdom.

Apa yang berlaku dalam situasi politik hari ini ialah sebahagian masyarakat menerima kontrak sosial dan sebahagian lagi menolak kontrak sosial. Yang menerima kontrak sosial ingin dikekalkan dan dijadikan panduan negara bangsa. Pihak yang menolaknya kurang bersetuju kontrak sosial dikekalkan.

Persoalannya sejauh manakah keharmonian dan integrasi kaum berjaya dimurnikan dalam keadaan hari ini.

*Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan