Pembaharuan pilihan raya

- Foto Bernama
- Foto Bernama
A
A
A

TAN Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkhidmat dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai Setiausaha, Timbalan Pengerusi dan Pengerusi SPR selama 27 tahun antara tahun 1979 dan 2008.

Beliau ialah seorang yang amat arif mengenai isu, undang-undang dan pengurusan pilihan raya di Malaysia.

Pada bulan Ogos tahun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melantik Abdul Rashid, 76, untuk mengetuai Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), sebuah badan baharu yang berfungsi mengkaji cadangan-cadangan bagi memantapkan demokrasi dan pilihan raya di Malaysia.

Apabila beliau mengendalikan program libat urus ERC bersama pengamal media di Wisma Bernama, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, iaitu salah satu daripada interaksi jawatankuasa itu dengan pihak-pihak berkepentingan, masa depan pilihan raya di Malaysia dari kaca mata Abdul Rashid amat mengujakan dan membuka minda.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), jumlah rakyat yang mendaftar sebagai pengundi di Malaysia adalah seramai 14.9 juta orang.

Menurut Abdul Rashid, sekiranya syor-syor yang dikemukakan oleh ERC diterima oleh kerajaan dan Parlimen, jumlah pengundi yang didaftarkan secara automatik pada PRU15, yang mungkin diadakan pada tahun 2023, adalah seramai 22.5 juta orang.

Dalam tempoh lima tahun antara 2018 dan 2023, jumlah pengundi di Malaysia akan bertambah secara drastik sebanyak 7.6 juta orang.

Mendengar unjuran yang diberikan oleh Abdul Rashid itu, rakyat Malaysia – sama ada mereka yang suka berpolitik atau cuba menjauhi politik – tidak lagi boleh tidak ambil kisah mengenai politik dan pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

Jika mereka tidak mempedulikan tentang pilihan raya yang menentukan kekuasaan negara, mereka pasti akan terlepas kereta api yang bergerak atas landasan yang menentukan acuan masa depan demokrasi di Malaysia.

Sebahagian daripada peningkatan 7.6 juta pengundi pada tahun 2023 itu bakal dicorakkan oleh cadangan ERC untuk menurunkan umur layak mengundi kepada 18 tahun seperti yang disarankan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) beberapa bulan lalu.

Abdul Rashid dan 17 anggota ERC sedang mengumpulkan cadangan-cadangan secara terperinci dan beliau tahu bahawa untuk melaksanakannya, ia memerlukan political will di pihak kerajaan dan Parlimen.

Syor-syor itu meliputi sistem pilihan raya, badan pengurusan pilihan raya, persempadanan kawasan pilihan raya, pendaftaran pemilih secara automatik, pendaftaran parti-parti politik, kempen pilihan raya, pembiayaan politik, kawalan media, perjalanan pilihan raya, tata etika calon dan parti, pemerhati pilihan raya, pemerkasaan undang-undang pilihan raya, penubuhan kerajaan sementara, kerjasama antara agensi, pendidikan pengundi dan undang-undang petisyen pilihan raya.

Pindaan

Sekiranya saranan ERC diterima kerajaan dan Parlimen, ia pasti akan memerlukan pindaan kepada Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957, Akta Pilihan Raya 1958 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1959 serta kemungkinan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan. ERC telah diberi mandat untuk menjalankan kajian dan membuat syor selama dua tahun bermula dari September 2018 sehingga September 2020.

Pada hujung tahun ini, ERC akan membuat laporan interim berkaitan dengan syor-syor yang bakal dikemukakan.

Betapa seriusnya Abdul Rashid dan ahli-ahli jawatankuasa ERC dengan kerja mereka dapat disimpulkan daripada satu kenyataan yang beliau tegaskan dalam program libat urus di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

“Apabila siap kerja kami pada 2020 nanti, kami akan kemukakan laporan penuh ERC bersama draf rang undang-undang pilihan raya,” kata beliau.

Antara idea yang sedang dipertimbangkan adalah menetapkan tarikh pembubaran Dewan Rakyat hanya lima tahun sekali, penambahbaikan dalam sistem alamat warganegara dalam pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara dan tiada lagi had siling pembiayaan kempen pilihan raya.

Pengundi yang tinggal di Kuala Lumpur, misalnya, mungkin tidak dibenarkan lagi mengundi di Kedah, Kelantan, Pahang atau mana-mana negeri lain.Di bawah pembaharuan yang akan diperkenalkan, konsep kerajaan sementara selepas pembubaran Dewan Rakyat juga akan diperhalusi dan diperkemaskan manakala sistem baharu diwujudkan untuk memperkenalkan perwakilan di Parlimen yang tidak melupakan kumpulan-kumpulan minoriti.

Antara janji penting Abdul Rashid ialah beliau mahu memastikan keputusan pilihan raya akan datang diumumkan awal, mungkin sekitar pukul 9 malam, dan terhindar daripada manipulasi ahli-ahli politik.

Melalui eksesais yang dirintis oleh ERC, beliau mengimpikan demokrasi dan pilihan raya di Malaysia menjadi setanding dengan demokrasi di negara-negara maju seperti Kanada, Australia, New Zealand dan Jerman.

“Peristiwa yang berlaku kepada Tun Mahathir pada 9 dan 10 Mei 2018 yang menyaksikan beliau terpaksa menunggu selama tujuh jam di Istana Negara sebelum dapat mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di depan Yang di-Pertuan Agong tidak akan berlaku lagi jika syor ERC dilaksanakan,” tegasnya.

Beliau dan jawatankuasa ERC boleh memberikan pelbagai saranan, tetapi cabaran terbesar Abdul Rashid adalah sejauh mana kerajaan sanggup menerima dan apa pula reaksi ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dalam menjadikan reformasi proses pilihan raya di Malaysia suatu realiti.

Sanggupkah mereka berubah?

* Datuk Baharom Mahusin ialah Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian